UOB Malaysia Jangka Ringgit Akan Pulih Pada 2016

KUALA LUMPUR – United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) menjangka ringgit akan pulih pada separuh tahun kedua 2016.

 

Pakar ekonomi UOB Malaysia, Julia Goh berkata, pasaran telah bertindak balas dengan agak positif terhadap langkah-langkah fiskal baru Malaysia yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada semakan bajet negara 2016 yang diumumkan pada Januari 2016.

 

Katanya, tindakan kerajaan Malaysia untuk memperbaiki kedudukan fiskal negara serta dolar Amerika yang lebih lemah akan menyumbang kepada kekukuhan ringgit.

 

“Ringgit, yang meningkat enam peratus berbanding dolar Amerika sejak kedudukan paling rendahnya pada suku ketiga 2015, telah mengukuh berbanding kebanyakan mata wang utama dan serantau untuk wujud sebagai salah satu mata wang Asia paling kukuh dalam enam minggu pertama 2016.

 

“Pemulihan ringgit dibantu oleh dana yang dihantar balik dari luar negara serta usaha Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan kecairan domestik dengan mengurangkan nisbah keperluan rizab berkanun (statutory reserve requirement atau SRR) kepada 3.5 peratus.

 

“Pada bulan-bulan akan datang, kami menjangka bahawa ringgit akan terus disokong oleh dasar eksport negara yang terpelbagai, lebihan akaun semasa yang berterusan dan keupayaan kerajaan untuk menguruskan risiko fiskal daripada harga minyak yang lebih lemah,” katanya.

 

Menurut Goh lagi, dari segi faktor luaran, usaha pihak berkuasa China untuk memastikan renminbi yang stabil dan kitaran kenaikan kadar faedah yang beransur-ansur bagi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan terus menyokong kemantapan kedudukan mata wang tempatan pada 2016.

 

“Perjanjian bersyarat untuk mengekalkan kestabilan pengeluaran minyak oleh pengeluar terbesar dunia juga akan menyokong pemulihan ringgit. Namun demikian, halangan terhadap pertumbuhan, risiko geopolitik luaran dan pasaran ringgit pesisir yang tipis mungkin akan menyebabkan ketidaktentuan dalam jangka masa pendek.

 

“Kami akan terus memantau pasaran dan meneliti faktor-faktor baru yang dapat menjejaskan daya tahan ringgit pada tahun hadapan,” katanya.-SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.