Perselisihan Azmin, Lim Guan Eng Tidak Jejas PKR, DAP – Salahudin Ayub

PETALING JAYA – Perselisihan faham antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan Lim Guan Eng berhubung pengguguran dua wakil PKR Pulau Pinang daripada lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan negeri (LGC) adalah perkara biasa.

 

Timbalan Presiden AMANAH, Salahudin Ayub berkata, perselisihan faham dua pemimpin tidak sama sekali membawa keretakan hubungan antara DAP dan PKR.

 

“Saya rasa bukan pepecahan (pergaduhan Azmin dan Guan Eng), malah benda ini merupakan pekara biasa dalam mana-mana pentadbiran negeri,” katanya kepada FMT.

 

Salahudin yang juga bekas Naib Presiden PAS berkata, isu Azmin dan Guan Eng akan dirujuk kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk mencari penyelesaian terbaik.

 

“Perkara ini saya rasa kita akan selesaikan melalui Majlis Presiden, kita akan selesaikan apa yang berlaku dalam kalangan kita (pembangkang).

 

“Saya yakin dan percaya bahawa Pakatan Harapan ada mekanisme untuk berbincang dan saluran terbaik untuk kita adalah meja Majlis Presiden,” katanya.

 

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, teguran yang dibuat Azmin itu berniat baik dan bukan bertujuan memperlekehkan pencapaian kerajaan negeri pimpinan Guan Eng.

 

“Saya ulangi setiap teguran yang dibuat pemimpin PKR terhadap Kerajaan Pulau Pinang adalah berniat baik, bukannya mahu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.

 

“Seperti yang ditegaskan Azmin, PKR menyokong tindakan dua ADUN ini kerana mereka hanya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dan menyuarakan pandangan pengundi di kawasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tian Chua juga berharap perselisihan faham Azmin dan Guan Eng itu dapat diselesaikan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan tidak lama lagi. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.