Penganalisis Ramal Pasaran Saham, Ringgit Kembali Kukuh

Kuala Lumpur – Bursa Malaysia dan ringgit dijangka mengukuh pada separuh kedua 2016 disokong oleh faktor-faktor luar dan dalam negara yang bertambah baik, termasuk pasaran komoditi, kata seorang penganalisis.

 

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata komoditi termasuk minyak mentah, dijangka pulih pada akhir tahun dengan pengeluar utama, Arab Saudi, Rusia dan Iran merancang untuk menstabilkan pasaran.

 

Ini sebaliknya akan memberi manfaat kepada saham minyak dan gas serta perladangan, katanya.

 

“Kami menjangka ringgit mencecah paras 3.95 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun, Bursa Malaysia pada 1,800 mata dan harga minyak mentah akan pulih kepada US$45 setong,” katanya pada taklimat media hari ini.

 

Pasaran akan menerima rangsangan daripada faktor-faktor dalaman seperti pilihan raya negeri Sarawak.

 

Nazri berkata ekonomi dijangka berkembang pada kadar kukuh 5.0 peratus tahun ini.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Santai bersama Permodalan Nasional Bhd mengenai ‘Pelaburan dan Kepentingannya Dalam Mengukuhkan Kewangan Bumiputera’.

 

Nazri berkata Malaysia menarik untuk pelaburan berikutan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik yang ditandatangani baru-baru ini dan ASEAN Exchanges.

 

“TPPA akan memberikan peluang besar kerana ia ada hubung kait dengan Amerika Syarikat dan Jepun disebabkan perkongsian perdagangan terbesar dalam sejarah negara,” katanya.

 

Nazri berkata Bursa Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 100 peratus dari tahun 2008 hingga 2015 dengan mencatatkan nilai sebanyak RM1.6 trilion sebelum berlaku pembetulan sejak pertengahan tahun lepas.

 

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi yang dijangka sederhana tahun ini mewujudkan peluang lebih banyak untuk pelaburan unit amanah dalam jangka masa panjang.

 

Bagaimanapun, beliau berkata pemilikan ekuiti bumiputera sepanjang tempoh tersebut tidak selari dengan pertumbuhan modal pasaran.

 

“Angka pemilikan saham bumiputera masih lagi dalam keadaan tidak memberangsangkan. Angka itu hanya naik sebanyak tiga peratus daripada 22 peratus pada 2008 kepada 25 peratus tahun lepas,” kata Nazri.

 

Beliau berkata kekurangan pemilikan saham dalam kalangan bumiputera adalah disebabkan kelemahan budaya tabungan dan pelaburan dan dapat di atasi dengan kempen celik kewangan.

 

“Kita berharap dengan adanya inisiatif yang dilakukan oleh PNB lebih banyak kempen-kempen celik kewangan untuk masyarakat bumiputera dapat dilakukan dan disokong bank-bank lain,” kata Nazri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.