Lebihan Stok Bantuan Banjir Diagih Kepada Golongan Miskin

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu akan mengagihkan barangan keperluan untuk mangsa banjir yang kini disimpan di pusat pangkalan hadapan seluruh negeri kepada golongan miskin dan ibu tunggal pada awal Mac ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata agihan itu sudah boleh diagihkan pada Mac ini memandangkan tiada lagi ancaman banjir yang akan berlaku di Terengganu dalam masa terdekat.

 

“Kita akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk mengenal pasti golongan miskin dan ibu tunggal yang akan menerima bantuan ini.

 

“Ketika ini, proses pengiraan stok makanan telah pun dimulakan oleh pegawai-pegawai di semua pusat pengkalan hadapan untuk pengagihan itu dilakukan secara berperingkat di semua kawasan yang sudah dikenal pasti,” katanya kepada Bernama hari ini.

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri Terengganu telah memperuntukkan sebanyak RM912,574 bekalan makanan dan RM1.34 juta lagi untuk kelengkapan harian bagi mangsa banjir pada tahun lepas.

 

Namun, Muhammad Pehimi berkata banjir yang berlaku tahun lepas tidak seburuk tahun-tahun sebelum ini dan pihaknya akan membuat kiraan semula stok makanan dan keperluan harian yang masih berbaki di pusat pengkalan hadapan.

 

“Bagaimanapun bagi barangan makanan seperti biskut, kopi, bihun dan susu yang akan tamat tarikh luput sebelum Mac, ia akan diagihkan segera.

 

“Barangan lain seperti kain batik, kain pelikat, toto, selimut, lampin bayi dan keperluan yang tidak mempunyai tarikh luput pula akan akan disimpan semula untuk persediaan menghadapi banjir di masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.