Isu ‘Gila Talak’, Mereka Masih Berada Di Tadika Kata Rafidah

Kuala Lumpur – Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz dalam satu kenyataan secara sinis membidas kenyataan menteri yang melabelkan sesetengah bekas menteri yang mengutuk kerajaan sebagai orang ‘gila talak’.

 

“Mereka yang bertanya seperti saya, dianggap sebagai ‘gila talak’, anti kerajaan, anti UMNO, sedangkan separuh abad saya berkhidmat untuk UMNO, di mana ketika itu ramai pemimpin muda pada hari ini masih berada di ‘tadika’,” tulis Rafidah di laman Facebooknya, semalam.

 

Kata Rafidah, sejak bila tindakan menyuarakan pandangan yang berbeza dianggap sebagai anti-kerajaan.

 

“Hanya kawan sebenar sanggup menghulur leher bagi memberitahu perkara sebenarnya. Seseorang boleh mempunyai ramai kawan yang hanya berkata mengikut kehendak seseorang itu mahu dan lebih suka mendengar tetapi kemudian menanggung akibatnya.

 

“Saya tidak pernah membenarkan diri saya menjadi pak turut kepada sesiapa. Ia tercatat dalam rekod saya,” jelas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri itu.

 

Malah, Rafidah turut menggesa kerajaan menyelesaikan isu kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia, memandangkan sejak keputusan ‘flip-flop’ kerajaan berhubung isu tersebut ia terus dipolemikkan.

 

“Hentikan polemik dan perdebatan pengambilan (pekerja asing), masa untuk menjelaskan isu sebenar kepada rakyat,” tegasnya.

 

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan segelintir bekas menteri sebagai ‘gila talak’ selepas menuduh kerajaan sebagai ‘flip-flop’ atau tidak tetap pendirian apabila membuat sesuatu perubahan dasar terutama selepas mendengar respon rakyat.

 

Meskipun Rafidah sebelum ini dilihat sering menyuarakan pandangan terhadap beberapa isu yang melanda negara, beliau bagaimanapun menyatakan dirinya tidak berminat untuk kembali aktif dalam politik, mahupun terlibat dengan kerajaan.

 

“Tetapi ini tidak bermakna saya, sebagai rakyat jelata, saya tidak boleh menyuarakan pendapat saya, terutamanya apabila terdapat isu-isu membabitkan kepentingan awam.

 

“Seperti orang lain, saya juga keliru dan tidak memahami apa yang berlaku kerana keputusan yang sering berubah-ubah,” katanya.

One thought on “Isu ‘Gila Talak’, Mereka Masih Berada Di Tadika Kata Rafidah

  • February 24, 2016 at 9:02 am
    Permalink

    Padan muka Zaid! Kena selepuk dengan Iron Lady kita ini. Tak usahlah menyombong tidak tentu pasal terutama dengan golongan lama yang telah berpuluh tahun berkhidmat dalam kerajaan. Kamu pula ketika itu masih dalam Tadika! Kalau begini cara pemimpin UMNO, mereka boleh berkemas kemas dan bungkus kain baju untuk berpindah dari Putrajaya. Walaupun saya penyokong setia UMNO jangan harap akan mengundi orang seperti Zahid Hamidi walaupun mungkin mengakibatkan UMNO/BN kecundang dalam PRU 14!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.