Datuk Vida Mahu Gugurkan Dramane Traore Sebagai Penyerang Kelantan

Kuala Lumpur – Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman dikatakan menggesa pengurusan pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) untuk mengugurkan Dramane Traore sebagai penyerang ekoran prestasi hambar ketika menentang pasukan Liga FAM, UKM FC malam Sabtu lalu.

 

Menurut sumber yang menghubungi SuaraTV, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida turut menghubungi kepimpinan tertinggi KAFA bagi menyuarakan hasratnya itu.

 

“Beliau telah menghubungi kepimpinan tertinggi KAFA untuk mengugurkan Dramane sebagai penyerang pasukan Kelantan.

 

“Pihak pengurusan (KAFA) ketika ini semakin tertekan dengan tindakan Datuk Vida yang sering mencampuri urusan pentadbiran,” kata sumber tersebut yang meminta agar identitinya dirahsiakan itu.

 

Sumber itu turut menjelaskan sehingga kini pihak KAFA masih lagi belum menerima tajaan yang dijanjikan sebelum ini.

 

“Walaupun Datuk Vida merupakan penasihat pasukan Kelantan, namun itu tidak bermakna beliau boleh mencampuri semua urusan sehingga menentukan siapa yang harus dipilih sebagai kesebelasan utama.

 

“Paling mendukacitakan apabila wang tajaan yang beliau janjikan sebelum ini masih belum dimasukkan sehingga menyukarkan pihak KAFA untuk menguruskan pasukan tersebut,” katanya lagi.

 

Sementara itu Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa ketika ditanya mengenai isu tersebut enggan memberikan sebarang komen.

 

Jutawan kosmetik itu sebelum ini memberi kata dua kepada penyerang import kelahiran Mali itu supaya memperbaiki rentak permainannya jika mahu kekal lebih lama bersama skuad kijang tersebut.

 

Pengasas produk kecantikan Qu Puteh itu turut mendesak agar Ketua Jurulatih Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW),  Kelantan, K. Devan untuk mengubah taktik permainan pasukan yang disifatkan sebagai sudah lapuk dan mudah dibaca pihak lawan. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.