Ulama PAS Seperti Quran Buruk

Oleh: Bujang Paloi

 

Ulama dalam PAS umpama Al-Quran buruk, buat mengaji tidak boleh, hendak dibuang takut berdosa. Itu pandangan seorang pemerhati politik, penganalisis pun boleh, berkaitan penguasaan dan kelangsungan golongan agamawan dalam parti Islamis ini.

 

Tapi yang pastinya, memperkatakan tentang PAS pada masa ini bukanlah suatu yang menyenangkan para penyokongnya, terutamanya penyokong tegar parti itu. Sebenarnya, tidak perlu menjadi macai UMNO pun kalau hendak berkata mengenai PAS. Boleh sahaja jadi barua DAP atau balaci PKR, atau apa sahaja pun kalau hendak menyerang dan membantai.

 

Ceriteranya, apakah perkalihan paradigma politik telah mendapatkan korbannya, bahawasanya penguasaan, paling tidak pun pengaruh ulama akan pupus dalam PAS dan parti ini akan tampil dengan gaya dan ketrampilan politik baru.

 

Tidak ada yang mustahil kerana imej atau ideologi Islamis sesiapa pun boleh canangkan, boleh mendakwa sebagai penjunjung. Ini realpolitik parti ini. Suatu masa dulu ia begitu bangga dapat menarik individu yang disifatkannya sebagai profesional menyertai dan sama-sama berjuang dalam PAS.

 

Pada hari ini, yang diperlihatkan ialah bagaimana golongan ulama semakin terkepung dalam Dewan Ulama dan Majlis Syura. Macam duduk dalam bilik kaca. Dapat tengok berkata-kata tapi suara tidak kedengaran. Terkepung tanpa peranan merupakan suatu gugahan kuasa yang memeritkan.

 

Malah kedudukan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku seorang ulama sebagai pemimpin yang wajib ditaati telah dicabar, dan seringkali dipelekehkan oleh orang dalam PAS sendiri. Itu baru orang dalam, belum lagi orang dalam DAP dan PKR yang sewenang-wenangnya mengatakan dan memaki pemimpin PAS ini.

 

Kalau yang memaki dan memperlekeh pemimpin PAS orang UMNO atau BN tidak hairanlah. Kalau orang PAS dan rakan pakatan, apa cerita!

 

Beberapa bulan mendatang ini sebenarnya hari-hari penentuan golongan ulama. Mac ini jika ia berpegang teguh pada perjuangannya membawa hukum Hudud ke arus perdana perundangan Malaysia, maka ia menjadi letupan perpecahan kepada pakatan. DAP yang tidak senang dengan agenda PAS ini memberikan gambaran bahawa ia bersedia tanpa PAS dalam pakatan. Tegakah PAS bercerai kasih dan kerjasama dengan DAP dan PKR?

 

Jika PAS sayang pakatan, maka ia boleh lepaskan ideologi negara Islam dan hukum Hududnya demi sayang dan setianya itu. Ini juga tidak mustahil kerana ada puak dalam PAS yang mengangkat matlamat menawan Putrajaya lebih wahid berbanding ideologi dan perjuangan parti yang mendasarinya. Tinggalkan Hudud, dakap mimpi Putrajaya bersama PR. Hukum Hudud boleh bawa ke depan lepas PRU-14. Tidak mustahil juga ia akan ditangguh untuk sekian kalinya. Apatah lagi bila meletakkan dunia lebih wahid.

 

Apakah golongan ulama akan terus wujud, yakni berkuasa berpengaruh selepas muktamar Jun ini. Seperti Mac ini, Jun juga detik penting dalam menentukan hala tuju PAS, apakah ia menjadi parti yang yang teguh perjuangan dan dasarnya, dengan golongan ulama memulihkan kuasanya yang terhakis dan tercabar teruk, atau kumpulan Mat Sabu dan Anwarinas semakin teguh dan kukuh mencorakkan politik PAS.

 

Jika berlaku PKR atau tidak DAP tidak boleh dipersalahkan andainya PAS tidak lagi menjadi wadah Islamis yang akan memperjuangkan agenda Islam termasuk Hududnya.

 

Atau, PAS boleh menjadi sejarah yang hitam dan tragis. Ketahuilah, kejatuhan dan kemusnahan PAS tidak boleh diletakkan pada UMNO, kecuali dalamannya. Sebab tentangan dan perseteruan dengan UMNO sejak ia hanya parti kecil tanpa sokongan dan pengaruh kuat tidak menghancurkannya, sebaliknya kudis dan penyakit dalaman yang membarahinya menjadi penghancur.

 

Tidak percaya? Lihatlah munculnya PasMa dan GIK, yang berkiblatkan dan setiakan DAP dan PKR.

 

Oh ya, mungkin tidak hancur, cuma bertukar wajah dan rupa sahaja, daripada imej berserban dan berjubah, menjadi parti yang menampilkan diri ala-ala minah dan mat disko.

 

Perkalihan paradigmalah katakan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.