‘Teleconference’ Mahfuz Bersama Sirul, GAGAL

Kuala Lumpur – Pembunuh Altantuya Shariibuu Sirul Azhar Umar yang dijadualkan mengadakan telesidang secara langsung bersama media Malaysia anjuran PAS jam 11.30 pagi ini tidak berjaya dihubungi apabila cubaan Datuk Mahfuz Omar menghubunginya beberapa kali gagal.

 

Mahfuz yang juga ketua penerangan PAS berkata beliau sudah memaklumkan kepada Sirul, 5 minit sebelum menghubungi bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu.

 

“Saya sudah SMS padanya 5 minit sebelum datang ke sini.

 

“Kali terakhir saya menerima SMS daripadanya pada 10.44 pagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

 

mahfuz 2

Sementara itu petugas media yang marah turut mempersoalkan bagaimana mereka dapat mengenal pasti orang dihubungi Mahfuz benar-benar Sirul yang disabitkan bersalah dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya.

 

Namun, persidangan yang sepatutnya bermula pada jam 11.30 pagi tadi terpaksa ditamatkan sejam kemudian setelah percubaan menghubungi Sirul tidak berjaya.

 

Sepanjang tempoh itu, Mahfuz diasak soalan daripada media berkaitan motif sidang akhbar, dan pengesahan integriti dan identiti individu yang beliau percaya sebagai Sirul tersebut.

 

“Sidang media ini sebagai peluang untuk Sirul menjelaskan motif pembunuhan. Kita mahu tahu apa yang berlaku,” ujar beliau.

 

Mahfuz pada Jumaat ini akan mengumumkan tarikh untuk pihaknya membuat lawatan ke Australia bagi menemui Sirul.

 

Nama misi untuk bertemu Sirul yang bakal disertai keluarga terdekatnya itu juga akan diumumkan.

 

Sirul yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, Australia selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Polis Antarabangsa, Interpol.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.