Sirul Enggan Dedah Sebarang Makluman Kepada PAS

Kuala Lumpur – Ibu Pejabat PAS hari ini menghubungi bekas komando polis, Sirul Azhar Umar namun beliau tidak memberikan sebarang maklumat baru mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu sebagaimana yang diuar-uarkan parti itu sebelum ini.

 

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar telah memanggil media untuk mendengar perbualan beliau dengan Sirul menerusi tele-conferencing di markas parti itu tengah hari tadi.

 

Namun dalam perbualan yang berlangsung hanya tiga minit dengan Mahfuz, Sirul hanya berkata beliau di layan baik di pusat tahanan Australia.

 

Mahfuz hanya berjaya menghubungi Sirul dalam cubaan kedua setelah usaha kali pertama pada kira-kira 11.30 pagi tidak berhasil.

“Saya mahu katakan bahawa saya amat berterima kasih dengan semua media Malaysia yang membuat liputan,” kata Sirul.

 

“Saya juga berterima kasih kepada kerajaan Australia yang telah memberikan perlindungan penuh kepada saya, termasuklah tempat yang selamat dan selesa,” tambah beliau.

 

“Saya tidak berhasrat untuk buat kenyataan pada waktu ini, sehinggalah tiba masa dan waktu yang sesuai,” kata Sirul sebelum memutuskan panggilan telefon itu.

 

Dalam pada itu Mahfuz cuba meletakkan kegagalan Sirul memberi maklumat baru mengenai pembunuhan Altantuya kepada pihak berkuasa Australia.

 

“Saya faham apa yang Sirul nak perkatakan. Kerajaan Australia pada masa ini tak membenarkan beliau membuat sebarang sidang telefon dengan media. Tetapi bukan satu larangan yang langsung tidak boleh.

 

“Kalau berada di luar pusat tahanan, risiko sangat tinggi dan boleh berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya.

 

PAS telah mengaturkan sidang telefon pada jam 11.33 pagi tadi bersama Sirul namun setelah mencuba hampir sejam sesi itu gagal berikutan kesemua lima belas cubaan panggilan yang dibuat masuk ke peti suara nombor telefon berkenaan.

 

Puluhan anggota media menunggu di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut bermula jam 10.30 pagi tadi bagi membuat liputan sidang telefon itu.

 

Namun mereka pulang hampa apabila Sirul tidak memberikan sebarang maklumat tambahan dalam perbualannya dengan Mahfuz.

 

Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul yang berpangkat koperal dan Cif Inspektor Azilah Hadri selepas mereka didapati bersalah membunuh Shaariibuu sembilan tahun lalu.

 

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan Azilah dan Sirul selepas membenarkan rayuan mereka.

 

Sirul ketika itu berada di Australia dan ditahan oleh pihak berkuasa negara itu dengan kerjasama Interpool.

 

Malaysia kini dalam proses mengatur extradisi Sirul untuk menjalani hukuman di negara ini namun di fahamkan proses itu bermasalah kerana peraturan Australia.

 

Negara itu tidak mempunyai hukuman gantung sampai mati dan amnya tidak menghantar pulang banduan warga asing yang ke negara asal jika dikenakan hukuman itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.