Pembalakan Tak Terkawal Punca Banjir Besar Di Kelantan – Ku Li

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak pembukaan tanah pertanian dan aktiviti pembalakan tidak terkawal antara punca kejadian banjir besar melanda Kelantan akhir Disember lepas.

 

Beliau berkata kesan daripada kegiatan itu juga menjadi penyebab beberapa sungai utama khususnya Sungai Belatop di Lojing menjadi cetek dan mudah melimpahi tebing apabila hujan lebat pada musim tengkujuh.

 

“Saya tidak menolak kemungkinan banjir besar baru-baru ini berpunca daripada kegiatan berkenaan dan penduduk di kawasan rendah yang mudah dinaiki air di Hulu Kelantan perlu bersiap sedia menjelang musim tengkujuh akan datang,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wangi 2 di Gua Musang, hari ini.

 

Selain itu, Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata penduduk Orang Asli di beberapa kampung sekitar Pos Brooke dan Lojing sebelum ini pernah menyuarakan kebimbangan mereka berhubung pembukaan tanah tidak terkawal itu.

 

“Suara mereka menjadi kenyataan dalam kejadian banjir besar baru-baru ini dan kita tidak menduga sama sekali kejadian berkenaan berlaku dengan begitu cepat sekali,” katanya.

 

Katanya, pihak berwajib sepatutnya membuat pemantauan rapi supaya setiap aktiviti pembukaan tanah dan pembalakan dilakukan mengikut cara terbaik. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!