PasMa Tidak Akan Maafkan Fitnah Ketua Dewan Ulama PAS

Kuala Lumpur – Persatuan Sejahtera Ummah Malaysia (PasMa) menyifatkan Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Nik Amar Abdullah melakukan fitnah terhadap persatuan itu dengan melemparkan pelbagai tuduhan.

 

Melalui status Facebook rasminya, PasMa menyatakan, ia memandang berat dakwaan-dakwaan yang dibuat ke atasnya dan sehubungan itu tidak akan memaafkan Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan.

 

“Fitnah yang dibuat oleh seorang Ketua Ulama tidak boleh dimaafkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook PasMa.

 

Dakwanya, antara tuduhan yang didakwa dilemparkan terhadap persatuan mesra Pakatan Rakyat itu ialah membawa ajaran songsang, liberal, menolak hudud dan lain-lain.

 

Sehubungan itu PasMa akan menganjurkan dialog dengan membabitkan Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS dan wakil Dewan Ulama PAS bagi menjawab segala fitnah.

 

“Tarikh, masa dan tempat akan ditetapkan segera,” katanya dan menambah, PasMa akan diwakili Muhamad Husin,Timbalan Presiden PasMa seorang lulusan Usuluddin Universiti Malaya; Aziz Abbas, lulusan Universiti AlAzhar selaku Pengerusi Pasma Terengganu; Ibrahim Ahmad, Timbalan Pengerusi Pasma Pahang yang merupakan lulusan Sarjana Universiti AlAzhar.

 

Menurutnya, dialog itu berjudul Fitnah Songsang Terhadap PasMa oleh Pemangku Ketua Ulama PAS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.