Palanivel Bukan Presiden MIC Sehingga Dipilih Semula

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Datuk Seri G. Palanivel tidak boleh dianggap Presiden MIC sehingga beliau dipilih se­mula dalam pemilihan parti yang akan diadakan pada Mei ini seperti diarah­kan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

 

Bekas Ketua Pemuda MIC, Senator Datuk S. A. Vigneswaran mendakwa, Palanivel juga tidak boleh membuat sebarang keputusan sendiri di bawah bidang kuasa Presiden tanpa mendapatkan persetujuan daripada ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) sementara.

 

“Pada ketika ini, perkara penting yang perlu dilihat adalah sama ada pemilihan parti yang diadakan pada 2013 sah atau tidak. Sekiranya tidak sah seperti diputuskan oleh ROS, maka Palanivel dan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam masing-masing bukan Presiden dan Timbalan Presiden.

 

“Jadi kuasa Presiden di bawah peruntukan perlembagaan MIC tidak boleh diguna pakai kepada beliau kerana bukan penyandang sebenar jawatan tersebut sebalik­nya hanya pemangku Presiden bagi CWC pada tahun 2009. Ini bukan sukar untuk difahami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Mengulas lanjut, Vigneswaran mendakwa, perkara ini jelas apabila pemilihan sebelum ini didapati tidak sah, maka individu terbabit terlucut jawatannya sehingga pemilihan semula diadakan.

 

“Selain itu, ROS telah mengambil masa selama setahun untuk menyiasat secara terperinci mengenai aduan terdapat penyertaan cawangan tidak sah dalam pemilihan MIC 2013 sebelum mengeluarkan arahan untuk mengadakan pemilihan semula.

 

“MIC juga bakal berdepan tindakan pembatalan pendaftaran sekiranya enggan mematuhi arahan ROS supaya mengadakan pemilihan semula untuk semua jawatan daripada peringkat cawangan hingga Presiden,” katanya.

 

Dalam pada itu, Vigneswaran turut menjelaskan mengapa pelantikan sembilan ahli baharu dalam CWC sementara tidak harus dipersetujui kerana sekiranya dibenarkan Palanivel akan diiktiraf sebagai Presiden.

 

“Arahan ROS adalah jelas, malah senarai perwakilan MIC pada tahun 2013 adalah tidak sah kerana telah melebihi 1,500 perwakilan yang diperuntukkan di bawah kuasa Perlembagaan MIC.

 

“Jadi, jika senarai perwakilan adalah tidak sah, MIC perlu mengadakan pemilihan semula secara menyeluruh. Perkara ini harus ditumpukan bukannya melengahkan masa dengan bertelagah sesama diri,” katanya.

 

Tambah beliau, Palanivel tidak seharusnya mempertikaikan pelantikan sembilan ahli baharu ke CWC sementara kerana beliau telah bersetuju dengan keputusan ROS untuk menerima jawatankuasa tersebut. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.