Nik Nazmi Dibebaskan Awal Pagi Tadi

Kuala Lumpur – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad yang ditahan di rumahnya kira-kira jam 10.18 malam tadi telah dibebaskan.

 

Nik Nazmi yang dibawa ke Balai Polis Dang Wangi kemudiannya dibawa ke Balai Polis Jinjang sebelum dibebaskan kira-kira jam 2 pagi tadi setelah selesai memberi keterangan.

 

Ketika ditahan, Nik Nazmi sempat memuat naik status di akaun Facebook beliau malam tadi berhubung penangkapannya itu memberitahu bahawa beliau akan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk membantu siasatan.

 

“Saya dibawa ke Balai Polis Dang Wangi oleh anggota PDRM dari rumah jam 10.18 malam tadi.

 

“Moga Allah pelihara keselamatan kita semua. Teruskan berdoa dan istiqamah untuk Malaysia,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Seri Setia itu dalam status Facebooknya.

 

Bagaimanapun akaun Facebook beliau kemudian dikemaskini mengatakan beliau telah dibawa ke Lokap Pusat Polis di Jinjang dan perkara itu disahkan isterinya Dr Imaan.

 

Penangkapan Nik Nazmi yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor menyusul selepas penahanan aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim dan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fariz Musa yang dibebaskan tengahari tadi.

 

Tangkapan itu dipercayai berkaitan dengan perhimpunan “#Kita Lawan” bagi menunjukkan sokongan terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di perkarangan sebuah pusat membeli belah di Jalan Tunku Abdul Rahman, kelmarin.

 

Nik Nazmi, Adam dan Fariz merupakan antara ratusan hadirin yang hadir dalam perhimpunan itu yang bertujuan menunjukkan solidariti terhadap Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas dia disabitkan bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.