Mesir Tarik Diri Saingan Tuan Rumah Piala Negara-Negara Afrika 2017

JOHANNESBURG: Mesir hari ini mengumumkan menarik diri daripada persaingan menjadi tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika 2017 susulan kejadian 19 maut di luar stadium Kaherah, baru-baru ini.

 

“Kami memutuskan untuk menarik diri daripada permohonan kami dan kami akan menyokong Algeria,” kata Menteri Sukan Mesir, Khaled Abdel Aziz.

 

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang alasan penarikan diri itu.

 

Gabon dan Ghana juga adalah calon untuk menggantikan negara bergolak Libya sebagai tuan rumah kejohanan bola sepak terbesar benua berkenaan.

 

Keputusan kerajaan Mesir itu dikaitkan dengan tragedi kematian 19 orang apabila polis dan penyokong bola sepak bertempur sebelum perlawanan membabitkan pasukan teratas liga negara itu antara kelab Zamalek dan ENPPI.

 

Semua perlawanan domestik digantung oleh pihak berkuasa bola sepak negeri itu sebaik insiden berkenaan.

 

Lebih 70 penyokong bola sepak maut di Port Said tiga tahun lalu selepas perlawanan antara kelab tempatan, Al Masry dengan kelab gergasi Afrika, Al Ahly.

 

Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA, Hany Abu Rida dari Mesir memberitahu pemberita, adalah tidak munasabah dua negara Arab berkenaan bersaing antara satu sama lain untuk menjadi tuan rumah.

 

“Mesir tidak akan bersaing dengan Algeria dan sebaliknya kita akan memberi sokongan yang terbaik,” katanya.

 

Algeria pernah menjadi tuan rumah atau tuan rumah bersama pada 1990, Gabon (2012) dan Ghana (1963, 1978, 2000, 2008) bagi kejohanan berkenaan.

 

Pemenang tuan rumah akan diputuskan menerusi undian antara eksekutif Persekutuan Bola Sepak Afrika (CAF) yang akan bermesyuarat di Kaherah April depan.

 

Mesir sudah empat kali menganjurkan kejohanan berkenaan dengan muncul juara tiga daripadanya iaitu pada 1959, 1986 dan 2006 manakala di tempat ketiga pada 1974. – AFP / BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.