MB Kelantan Hargai Peranan SPRM

KUALA LUMPUR – Penubuhan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membantu meningkatkan ketelusan proses pengagihan bantuan kepada mangsa banjir.

 

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, peranan yang dimainkan oleh jawatankuasa itu dengan kerjasama agensi kerajaan negeri dan pusat telah meningkatkan usaha menghalang ketirisan.

 

“Kerajaan Kelantan sentiasa mengadakan perjumpaan dan mesyuarat bagi menghalang perkara tersebut berlaku, terutama ketika banjir baru-baru ini. Kita lihat apabila banjir, ada peruntukan tertentu yang telah diurus oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta kerajaan persekutuan.

 

“Contohnya diperuntukkan RM500 juta untuk mangsa banjir. Saya berharap wang tersebut benar-benar sampai kepada sasaran,” katanya ketika menghadiri sesi pertemuan wakil rakyat PAS dan PKR anjuran SPRM di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

 

Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir ditubuhkan pada 12 Januari lalu bertujuan menerima aduan salah laku dan penyelewengan mengenai permohonan bantuan banjir.

 

Jawatankuasa itu diketuai oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Mustafar Ali serta dianggotai oleh MKN, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

 

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan berkata, di peringkat awal pihaknya mendapati jumlah pemohon yang besar dalam senarai mendapatkan bantuan banjir.

 

“Namun,setelah disertakan dengan borang akuan bersumpah SPRM (di bawah Seksyen 18 Akta SPRM), angka itu menurun. Kita ada pengerusi bersama dalam pasukan banjir dan menerima nama mangsa bencana itu yang kehilangan rumah sepenuhnya.

 

“Maknanya ada sesetengah daripada mereka yang tidak bertanggungjawab, mungkin ada yang daftar sebanyak dua kali. kita berusaha untuk membersihkan atau mencapai matlamat dalam membantu rakyat,” katanya.

 

Ahmad berkata, bantuan kewangan sama ada daripada kerajaan negeri ataupun pusat harap diterima oleh mereka yang benar-benar layak.

 

“Dalam agihan bantuan makanan, mereka mungkin tidak terima kerana menghadapi masalah dari segi logistik walaupun yang berdaftar.

 

“Kita ucap tahniah kepada jawatankuasa yang dianggotai dengan SPRM, MKN dan audit ini. Kita orang politik juga boleh melihat bagaimana memperkecilkan ketirisan,” katanya.

 

Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir boleh dihubungi menerusi talian 019-2849134, 019-2849234 atau 019-2849389. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.