Lee Kuan Yew Mahu Segera Dimatikan – Zainuddin Maidin

Kuala Lumpur – Singapura akan terus menjadi duri dalam daging Malaysia kerana konsep Malaysian Malaysia yang ditanam oleh bekas Perdana Menterinya, Lee Kuan Yew bagi tujuan sosialisme telah terpesong menjadi Chauvanisme Cina yang liar dan rakus.

 

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, perkara itu terjadi disebabkan pimpinan yang rasis mengetepikan adat istiadat sebuah negara beraja.

 

“Strategi kosmopolitan Lee Kuan Yew yang tidak berasaskan kepada realiti politik Malaysia tidak dibetulkan oleh pewaris politiknya di samping kegagalan mereka menjaga disiplin dan bercampur dengan golongan politik agama yang kolot dan parti politik yang rasuah dan tidak bermoral.

 

“Bagaimanapun seperti yang pernah dinyatakan oleh Lee Kuan Yew sendiri dengan pertumbuhan populasi Melayu dan topografi politik Malaysia maka pembangkang tidak akan berjaya di Malaysia yang bererti Malaysian Malaysianya juga akan hanyut seperti tanda-tanda yang sudah terbayang sekarang,” katanya dalam entri terbaru di dalam blognya.

 

Dalam pada itu Zainuddin yang merupakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan berkata, jika tidak kerana perancangan dinamik, bervisi dan inovasi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mungkin Malaysia hari ini merupakan sebuah kampung Melayu di pinggir Singapura.

 

Beliau turut memuji tindakan Mahathir yang membangunkan bangunan tertinggi di dunia telah membangunkan keyakinan diri di kalangan rakyat negara ini menyebabkan rakyat Singapura datang mendongak kepala di Malaysia.

 

“Beliau merintis perlumbaan F1 yang diikuti oleh Singapura. Rakyat Malaysia tidak lagi pergi ke Singapura kerana hendak menaiki MRTnya dan mengkagumi bangunan tinggi Singapura dengan perasaan rendah diri sebaliknya orang Singapura sekarang ramai ke Malaysia untuk menjadikan lebuh rayanya yang indah sebagi litar perlumbaan,” katanya.

 

Beliau turut melihat banyak persaman identiti antara Mahathir dan Kuan Yew untuk mengubah sikap rakyatnya.

 

“Tetapi Mahathir dilihat lebih demokratik dan pragmatik berbanding Kuan Yew yang dianggap lebih autoritarian, lebih keras dan tegas tetapi sikap ini diperlukan oleh Kuan Yew yang lebih mengenali sikap bangsanya.

 

“Seperti yang digambarkan kepada seorang pegawai Utusan Melayu semasa beliau menjadi peguam pertama Utusan di Singapura dalam tahun 50-an ‘saya sahaja yang boleh ajar orang Cina’,” katanya.

 

 

Berikut adalah pandangan beliau di dalam entri tersebut:

 

Masa Untuk Berterima Kasih Kepada Lee Kuan Yew

 

Tidak lama lagi akan padamlah sebuah pelita yang menyinarkan jalan Singapura keluar dari dunia ketiga ke dunia pertama. Lee Kuan Yew (LKY) 91 tahun, Perdana Menteri Pertamanya sedang dalam rawatan ketenatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah Hospital Singapura.

 

Dalam sebuah buku yang diterbitkan dalam tahun 2013, Lee Kuan Yew yang merasa semakin lemah mahukan kematian yang cepat dan berpesan kepada doktornya supaya tidak memberikan rawatan untuk memanjangkan pernafasannya sekiranya beliau telah tidak sedar lagi dan kematian tidak lagi dapat dielakkan.

 

Dalam keadaan ini, warisan pimpinannya tentu mengingatkan semula suatu ucapannya yang paling popular “Biarpun dari ranjang sakit saya dan sekalipun ketika badan saya diturunkan keliang lahad tetapi jika saya dapati ada sesuatu yang tidak kena maka saya akan bangun (lihat di Youtube The Best Of LKY).

 

Bagaimanapun sebelum kematiannya, beliau sendiri telah melonggarkan beberapa asas kawalan moral yang ketat demi untuk survival Singapura dengan membenarkan perjudian dan pelacuran berlesen di samping terus mengawal keras integrity pemerintahannya dan mempastikan jentera politik dan kerajaan tidak terjebak dengan skandal rasuah dan lain-lain penyelewengan.

 

Jika tidak kerana Dr. Mahathir mengejarnya dengan perancangan dinamik, bervisi dan inovasi di atas asas pembangunan yang diletakkan oleh Tun Abdul Razak maka mungkin Malaysia hari ini merupakan sebuah kampong Melayu di pinggir Singapura yang menjadi sebuah negara maju walaupun kecil.

 

Dr. Mahathir membangunkan bangunan tertinggi di dunia untuk membina maruah dan keyakinan diri  rakyatnya yang menyebabkan orang Singapura datang mendongak kepala di Malaysia dan beliau merintis perlumbaan F1 yang diikuti oleh Singapura.

 

Rakyat Malaysia tidak lagi pergi ke Singapura kerana hendak menaiki MRTnya dan mengkagumi bangunan tinggi Singapura dengan perasaan rendah diri sebaliknya orang Singapura sekarang ramai ke Malaysia untuk menjadikan lebuh rayanya yang indah sebagai litar perlumbaan.

 

Banyak persamaan dalam identity pemerintahan  Dr. Mahathir dan Lee Kuan Yew untuk mengubah sikap rakyatnya tetapi Dr. Mahathir dilihat lebih demokratik dan pragmatik berbanding Lee Kuan Yew yang dianggap lebih authoritarian, lebih keras dan tegas, tetapi sikap ini diperlukan oleh Lee Kuan Yew yang lebih mengenali sikap bangsanya seperti yang digambarkan  kepada seorang pegawai Utusan Melayu semasa beliau menjadi peguam pertama Utusan di Singapura dalam tahun 50an “ saya sahaja yang boleh ajar orang Cina”

 

Beliau mendisplinkan mereka dari menamatkan kesukaan berludah di merata tempat sehingga kepada larangan membakar gaharu dan mercun dan mengarak mayat dengan bunyi bising dan taburan kertas.

 

Beliau melenyapkan Wayang Cina, walaupun beliau tahu bangsanya mempunyai sejarah  ketamadunan dan  kebudayaan tertua di dunia, tetapi di Malaysia dan Singapura,mereka masih mengamalkan nilai-nilai kuno yang menyebabkan mereka sukar untuk mengadaptasi dengan nilai tempatan.

 

Di  Republik Rakyat China, nilai kuno dihapuskan menerusi komunisme tetapi di Taipei dan juga di kalangan masyarakat cina di luar China, nilai ini menjadi masalah kepada orang tempatan. Di Singapura Lee Kuan Yew cuba mengikisnya menerusi sosialisme.

 

Ketika Lee Kuan Yew sedang berjuang untuk menyambung nafasnya, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir 90 tahun sedang bercuti. Khabarnya sedang menunggang kuda di Argentina. Tidak jauh beza umur mereka dan demikian juga tidak banyak berbeza kepercayaan kepada strategi berkesan bagi pembangunan bangsa dan negara.

 

Dengan keazaman yang kuat dan kepintarannya yang pada mulanya melihat survival masa depan Singapura bergantung kepada Malaysia, tetapi setelah tersingkir dari gagasan ini, beliau membuktikan kemampuannya bersendirian dan mendahulukan Singapura menjadi negara maju meninggalkan Malaysia.

 

Keajaiban pencapaiannya adalah dengan indoctrinasi “Minda Terkepong”  di kalangan rakyat Singapura dengan menjadikan Komunisme China dan Dunia Melayu sebagai phobia meyakinkan dunia Barat untuk melihatnya sebagai rakan kongsi strategi yang setia dan yang terpenting di antara semua negara Asia dan juga dalam Asean untuk kepentingan kekuatan ekonomi dan juga kejayaan dasar new colonialism dan globalisasi.

 

Orang mengatakan pencapaianya mudah oleh kerana Singapura merupakan negara kecil tetapi tidak semua negara kecil dapat berjaya sepertinya untuk meyakinkan dunia terhadap potensinya jika Lee Kuan Yew tidak mengengam Singapura dengan tangan besi dan melaksanakan  perancangan yang realistik dan kepimpinan yang jujur dan bersih.

 

Lee Kuan Yew mengistiharkan bahawa beliau tidak sedikit pun kesal dengan caranya kerana tanpa campur tangan kerajaan dalam hal ehwal kehidupan setiap orang, mengambil tahu siapa jiran mereka,di mana mereka berludah,kebisingan yang mereka lakukan dan bahasa yang digunakan maka Singapura tidak wujud hari ini.

 

Maka itu sebaik sahaja dipisahkan dari Malaysia beliau menjadikan perkauman Cina sebagai musuh  utama dengan membunuh semua institusi Cina yang berpontensi untuk menghidupkan kebudayaan Cina yang akan menjadi tanah subur bagi perkembangan komunisme Cina dan menjadi penghalang besar kepadanya untuk mensosialisasikan orang Cina dengan nilai-nilai pemodenan dan persekitaran(baca  buku Man In White).

 

Beliau menahan golongan terpelajar Inggeris yang menjadi barisan depan komunis antarabangsa termasuk Samad Ismail Wartawan Utusan yang berpengaruh  di kalangan pemuda-pemuda Cina. Samad percaya kepada kekuatan Melayu menerusi Melayu Raya tetapi Lee Kuan Yew dan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman melihat Indonesia sendiri yang miskin ilmu dan ekonomi akhirnya akan menjadi alat kepada Parti Komunis China atau Republik Rakyat China.

 

Beliau juga menahan Ketua Pengarang Utusan  Melayu, Said Zahari selama 17 tahun  kerana menjadi alat kepada Indonesia  untuk menjajah Malaya dan Singapura  di samping beliau menekan pemimpin-pemimpin  komunis Cina di Singapura sehingga menjadi sayur lesu.

 

Apapun pandangan kita terhadapnya, tetapi Lee Kuan Yew telah meninggalkan Singapura yang stabil, maju,makmur.aman damai yang dapat melimpahkan kekayaannya ke Malaysia dan tidak meninggalkan Singapura sebagai pusat perkauman Cina atau sarang jenayah yang sekiranya ini terjadi  maka mungkin menjadi masalah yang lebih besar kepada Malaysia dalam keadaan sekarang ini..

 

Dalam pada itu Singapura akan terus menjadi duri dalam daging kepada Malaysia kerana Malaysian Malaysia yang di tanam benihnya oleh Lee Kuan Yew untuk tujuan sosialisme telah terpesong menjadi Chauvanisme Cina yang liar dan rakus kerana pimpinan yang rasis yang mengenepikan adat istiadat dan nilai  sebuah negara beraja dan beragama.

 

Strategi kosmopolitan Lee Kuan Yew yang tidak berasaskan kepada realiti politik Malaysia tidak dibetulkan oleh pewaris politiknya di samping kegagalan mereka menjaga disiplin dan bercampur dengan golongan politik agama yang kolot dan parti politik yang rasuah dan tidak bermoral.

 

Bagaimanapun seperti yang pernah dinyatakan oleh Lee Kuan Yew sendiri dengan pertumbuhan populasi Melayu dan typography politik  Malaysia maka pembangkang tidak akan berjaya di Malaysia yang bererti  Malaysian Malaysianya juga akan hanyut seperti tanda-tanda yang sudah terbayang sekarang.

 

Singapura sendiri akan menjadi banteng pertahanan utama kepada kemaraan nasionalisme Cina yang akan datang dalam bentuk politik komunisme yang berselindung disebalik sistem ekonomi kapitalisme yang akan menjadi pencabar utama kepada kekuatan hyperpower Amerika Syarikart dalam ketenteraan  dan perekonomian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.