Johan Terkejut Dinobat Top Top Meletop

KUALA LUMPUR: Johan atau nama sebenarnya, Mohammad Yazid Lim tergamam sejurus selepas dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Top Top Meletop (lelaki) di Anugerah Meletop Era (AME 2015) malam tadi.

 

Dapat dilihat reaksi terkejut Johan yang juga berperanan sebagai pengacara anugerah berkenaan kerana sama sekali tidak menyangka kemenangan itu.

 

“Saya sememangnya terkejut dan tak mampu nak kata apa. Ini kerana saya datang sebagai pengacara dan fokus adalah pada kelancaran anugerah ini. Malah tadi saya terlambat keluar pun kerana saya begitu leka di belakang pentas.

 

“Walaupun ada yang letakkan sasaran untuk saya memenangi kategori Penyampai Radio Meletop namun saya tak nak meletakkan harapan tinggi sebaliknya menyerahkan semuanya pada Allah,” kata Johan ketika ditemui pada sidang media selepas AME 2015 di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini.

 

Johan berkata, isterinya merupakan tulang belakang bagi kerjaya seninya serta berperanan sebagai pengkritik utamanya. Dia turut menegaskan bahawa segala kerja keras yang dilakukan olehnya adalah demi isteri serta anak-anak tercinta.

 

“Apa yang boleh saya cakap adalah isteri saya (Ozlyn) merupakan pengkritik utama kerjaya seni saya yang mana dia akan berterus terang sama ada benda itu lawak atau tak. Isteri saya juga adalah pengkritik Jozan yang membantu saya untuk memperbaiki lagi kerja saya.

 

“Manakala anak-anak pula adalah peminat nombor satu saya. Kalau balik rumah saya memang tak tengok televisyen sebab mereka memang akan pasang program atau apa saja yang ada muka saya berulang kali,” kata Johan sambil ketawa. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.