Ahli Perniagaan Dibelasah Selepas Kritik Agensi Kerajaan

AYER KEROH – Kononnya mahu berbincang mengenai perniagaan, namun apabila tiba di tempat dijanjikan, dia diserang secara tiba-tiba.

 

Itulah nasib dialami seorang ahli perniagaan, Hasnu Baharoi, 42, apabila dia diperangkap dan dibelasah oleh tiga lelaki dalam kejadian 15 Februari lalu, sehingga terpaksa menerima rawatan di Hospital Melaka selama lima hari.

 

Puncanya akibat dia memuat naik status di laman sosial Facebook yang mengkritik langkah penguatkuasaan sebuah agensi kerajaan.

 

Hasnu berkata, sebelum kejadian, dia dihubungi seorang lelaki menerusi panggilan telefon, kononnya mahu membuat urusan perniagaan dengannya.

 

“Lelaki ini menghubungi saya kononnya mahu berjumpa bagi satu urusan perniagaan. Ketika itu saya berada di Peringgit Jaya dan mencadangkan supaya itu datang berjumpa di situ.

 

“Sebaik berjumpa, tiga lelaki turun dari sebuah kereta,  salah seorangnya tiba-tiba bertanyakan tentang status dalam Facebook saya dan berkata “kenapa awak kurang ajar dengan bos saya? ”.

 

“Setelah itu, berlaku pertengkaran antara saya dengan mereka sehingga terjadinya pergelutan. Salah seorang dari mereka turut mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan termasuk ugutan bunuh kepada saya,” katanya.

 

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, selepas dibelasah, dia sempat merakamkan gambar kereta yang dinaiki ketiga-tiga lelaki terbabit dan terus membuat satu lapo-ran di Balai Polis Melaka Tengah pada petangnya.

 

“Saya memang ada masalah jantung sejak lebih setahun lalu. Kira-kira 6.30 petang itu, saya terasa sesuatu yang tidak kena pada kesihatan saya, lalu terus merujuk ke Hospital Melaka. Doktor yang merawat menyarankan saya ditahan wad.

 

“Saya hanya mengalami sedikit kecederaan di bahagian muka kesan daripada pergelutan itu tetapi yang lebih membimbangkan adalah masalah jantung yang saya alami,” katanya ketika mengadakan sidang media di Ayer Keroh, di sini semalam.

 

Hasnu berkata, sebelum ini, dia memang ada memuat naik status di Facebook mengkritik sebuah agensi kerajaan berhubung tindakan penguatkuasaan agensi terbabit yang dikira tidak wajar.

 

“Dalam komen itu, saya menggesa ketua jabatan agensi itu agar memantau seorang pegawainya yang dikira agak keterlaluan,” katanya.

 

Berikutan serangan itu, Hasnu berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan segera agar pihak bertanggungjawab dihadap ke muka pengadilan.

 

“Kalau benar ketiga-tiga lelaki berkenaan ada kaitan dengan pegawai kerajaan, saya rasa ia tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi wujudnya gejala gangsterism dalam kerajaan,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian.

 

Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan melakukan ugutan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.