ATM Gerakkan Tiga Lori Tangki Air Ke Balakong – Hishammuddin

KAJANG – Tiga lori tangki air Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dengan muatan 10,000 liter setiap satu, hari ini digembleng ke kawasan Balakong, yang terjejas akibat krisis air melibatkan 35,000 penduduk.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata arahan itu telah diberikan kepada ATM bagi memberikan bantuan ke kawasan yang terjejas termasuk di Balakong.

“Ini juga sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan pihak ATM betul-betul berada dekat dengan masyarakat…dalam situasi seperti ini ATM perlu turun dan bantu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan sempena gotong-royong dan sumbangan bantuan kepada penduduk di Kampung Sri Jambu, Kajang di sini, Ahad.

Sementara itu, Penyelaras Rukun Tetangga Balakong Mejar (B) Abdul Rahim Mohd Amin berkata bekalan itu dapat disalurkan ke kawasan yang terjejas di Taman Impian Ehsan, Balakong yang mempunyai 20 kawasan taman perumahan.

“Krisis air ini berlaku sejak 14 hari lepas dan bantuan bekalan air sekurang-kurangnya dapat dimanfaatkan oleh penduduk yang terjejas iaitu kira-kira 35,000 orang.

“Bekalan air ini juga dilihat dapat membantu pihak Syabas yang telah membekalkan air sebelum ini,” katanya.

Hishammuddin dalam pada itu berkata isu utama yang diberikan tumpuan oleh Barisan Nasional di kawasan Kajang adalah untuk menangani krisis kekurangan bekalan air dan wabak denggi.

“…kerana itu hari ini kita gembleng Briged Sukarelawan Khidmat Negara termasuk ATM dan masyarakat setempat untuk membersihkan kawasan kediaman dan kawasan sekitar,” katanya.

Pada majlis gotong-royong itu, kira-kira 100 anggota tentera darat bersama 150 orang Briged Sukarelawan Khidmat Negara menjalankan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan perumahan Taman Sri Jambu, Kajang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.