Awas Lelaki Menyamar Kontraktor TNB, Curi Barang Berharga

KUALA LUMPUR – Polis memburu seorang lelaki tempatan dipercayai menyamar sebagai kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang giat membuat pemeriksaan di premis sebelum mencuri dan menyamun barang berharga.

Ketua Polis Kajang, Ahmad Dzafir Mohd Yussof berkata lelaki berumur lingkungan 30-an itu dipercayai memperdaya mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai kontraktor syarikat bekalan elektrik itu sebelum meminta kebenaran untuk memeriksa meter di premis yang disasarkan.

“Suspek akan minta untuk menutup meter elektrik dan menyuruh semua staf atau pemilik premis keluar supaya tidak tercedera semasa proses pemeriksaan dibuat.

“Setelah semua keluar, suspek akan menggeledah premis dan mencuri barang berharga dan wang tunai daripada premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek turut memperkenalkan diri sebagai kontraktor bangunan iaitu wakil pemaju untuk memeriksa bangunan.

Dzafir berkata sebanyak 4 laporan polis diterima berhubung kejadian itu yang dipercayai berlaku sejak Disember lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open

Close