Tak Mahu Sedih Lagi

Sering mengalunkan lagu sedih, penyanyi dari seberang, Cakra Khan, 26, mengakui apa yang disampaikan itu terpalit kepada dirinya.

Baru saja putus cinta buat kali kedua, Cakra tidak serik untuk bercinta lagi, namun buat masa ini dia mahu fokus terhadap karier seni.

“Saya baru putus cinta beberapa hari lalu dengan kekasih dan ini perpisahan kali kedua dengan orang yang sama selepas dia curang dengan saya.

“Memang menyakitkan kerana ia berlaku di depan mata, namun saya kekal tersenyum demi perlu fokus dengan kerjaya.

“Mungkin juga kebetulan kerana saya suka menyanyikan lagu sedih dan ia turut berlaku dalam kisah cinta saya,” katanya.

Berikutan itu, selepas ini Cakra mahu tampil dengan lagu gembira dan Kekasih Bayangan adalah karya sedih terakhir daripadanya.

“Saya akan tampil dengan album kedua tahun ini. Album ini memuatkan 10 lagu dan hanya ada tiga lagu sedih, selebihnya lagu gembira.

“Saya mahu cuba tampilkan kelainan dengan menyanyikan lagu ceria. Mana tahu selepas itu akan bertemu cinta yang sentiasa buat saya gembira dan bahagia,” katanya.

Tidak menolak jika bertemu jodoh dengan orang Malaysia, Cakra gembira kerjasama di antara syarikat rakamannya, MyMusic Records Indonesia dan Sony Music Malaysia satu peluang besar untuknya berkolaborasi dengan artis di sini.

“Ini kerjasama yang bagus di mana saya dapat bergandingan sekali lagi dengan artis Malaysia.

“Malah, sudah ada beberapa nama artis yang akan berkolaborasi dengan saya,” katanya.

Tidak pernah terlintas di fikiran untuk menceburi dunia lakonan, Cakra berkata, jiwanya lebih cenderung dengan bidang nyanyian dan kerana itu menolak tawaran beberapa syarikat produksi.

“Setakat berlakon untuk muzik video saya tidak ada masalah, tetapi kalau untuk sinetron atau filem saya tak mampu. Bimbang nanti hasilnya jadi teruk,” katanya yang tidak menggemari karya seram.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.