“Saya Dipaksa Presiden Untuk Minum Herba Anti-HIV Buatannya”

Bekas pemimpin Gambia, Yahya Jammeh, yang melarikan diri dari negara itu setahun lalu selepas dua dekad berkuasa, dituduh melakukan pelbagai jenayah.

Namun, salah satu tindakan aneh yang dilakukannya adalah memaksa beribu-ribu orang penghidap HIV untuk menjalani rawatan dengan ramuan herba yang dihasilkannya.

Sementara itu salah seorang pesakit yang menyertai program herba Jammeh ialah Lamin Ceesay. Sebagai orang pertama di Gambia yang mendedahkan bahawa dirinya positif HIV, Ceesay menyangka dia melakukan perkara betul dengan menyertai program terbabit.

Pengumuman itu dibuat Ceesay pada tahun 2000, ketika kejahilan tentang HIV masih marak di Afrika dan ketika pesakit HIV terpaksa berdepan dengan stigma dan prasangka orang ramai.

Pada Hari AIDS Sedunia tahun itu, Ceesay memberanikan diri untuk turun ke jalan dan ikut serta dalam demonstrasi yang dilakukan oleh mereka yang prihatin terhadap pesakit HIV.

Ia menjadikan Ceesay mendapat penghormatan daripada pengamal perubatan di seluruh dunia. Tetapi beberapa tahun kemudian, dia mendapat perhatian Presiden Gambia, Yahya Jammeh.

Pada tahun 2007, Jammeh mengumumkan bahawa beliau mencari ubat mujarab untuk melawan virus HIV menggunakan campuran ubat herba dan teknik penyembuhan spiritual.

Menariknya, beliau berkata penyembuhan ini hanya akan berfungsi jika dilakukan pada Khamis dan Isnin.

Tak menghairankan, perkara ini dianggap fahaman shamanisme yang paling berbahaya oleh pakar kesihatan seluruh dunia.

Jadi apabila jemputan tiba di agensi Ceesay, dia meminta Ceesay dan 10 orang lain sebagai sukarelawan untuk menjadi kumpulan pertama yang diuji dengan herba berkenaan selama enam bulan.

“Saya berfikir untuk menghantar orang lain ke program itu, tetapi saya takut jika saya tidak melakukannya sendiri, ia mungkin akan membawa masalah kepada saya,” katanya.

Lamin Ceesay
Lamin Ceesay

“Saya juga berfikir, ‘Mengapa tidak, tidak ada salahnya?'”

Di situlah Ceesay salah. Ketika tiba di klinik kecemasan Presiden di Wisma Negara, peruntukan asas program tersebut dijelaskan bahawa pesakit tidak boleh merokok, atau minum teh dan kopi. Juga tidak melakukan seks dan yang terpenting, tidak menggunakan ubat moden termasuk ubat anti-retroviral yang diberikan kepadanya oleh doktornya.

Tetapi tiada siapa yang dapat membantunya sekarang. Pengawal bersenjata Jammeh ditempatkan di pintu klinik. Selama enam bulan seterusnya, kata mereka, tidak ada pesakit yang dibenarkan pergi tanpa izinnya.

Dan rawatan itu bermula. Setiap pagi presiden akan menggosok adunan hijau misteri ke tubuh pesakit, sambil melantunkan doa dari sebuah kitab kulit. Kemudian, dua kali sehari, mereka akan minum dari botol yang mengandungi herba kuning.

Jammeh enggan menyatakan apa kandungannya.

Yahya Jammeh mengibaskan Al Quran di atas pasien HIV pada 2007

Jelas, rawatan ini menjadikan Ceesay mengalami cirit-birit yang tidak berkesudahan. Dia juga menghidap tuberkulosis akibat jangkitan daripada pesakit lain dan akhirnya menjadi lemah sehingga terpaksa dibawa ke hospital.

Hasilnya pemeriksaan menunjukkan kandungan HIV beliau melonjak dan dia terpaksa mengambil anti retroviral.

Isteri Ceesay yang juga positif HIV, meninggal dunia dalam program herba itu. Begitu juga dengan  majoriti pesakit lain.

“Sebagai tokoh kanan dalam kumpulan HIV, saya menghadiri pengebumian sepanjang masa,” katanya.

Bagaimanapun, itu bukan gambaran yang dipromosikan oleh Presiden Jammeh, sebaliknya beliau memaksa pesakit untuk muncul di televisyen Gambia dan memberitahu kejayaan program itu.

Antaranya ialah Ousman Sowe, yang mempunyai ijazah kesihatan awam dari University of Leeds di England.

Berharap untuk memberikan beberapa persepsi akademik kepada program ini, Sowe dilantik oleh Jammeh sebagai jurucakapnya untuk menghapuskan keraguan wartawan asing yang tidak percaya akan herba terbabit.

Pada satu ketika, Sowe memberitahu pemberita BBC bahawa dia mempunyai keyakinan 100% mengenai penyembuhan itu sedangkan hakikatnya selepas berhenti mengambil herba itu, dia menjadi sangat lemah sehingga dia tidak dapat menaiki tangga.

“Sebagai orang berpendidikan, saya tahu itu semua merepek. Tetapi saya tidak boleh menyatakannya walaupun ada yang telah meninggal dunia,” kata Sowe.

Ousman Sowe
Ousman Sowe

Sowe dan beberapa pesakit lain kini bekerja dengan Aids-Free World, sebuah NGO Amerika yang mahu Jammeh dibicarakan.

Selain itu, tidak seperti penjara rahsia dan ruang penyeksaan, skandal itu dilakukan di mata dunia antarabangsa.

Kira-kira 9,000 orang dipercayai telah menjalani rawatan herba itu namun angka sebenar hanya diketahui oleh Jammeh yang menyimpan catatan rahsia klinik herbanya itu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.