Polis Tahan Dua Suspek Pengganas Rancang Serang Bukit Aman

KUALA LUMPUR  — Dua lelaki, masing-masing warga tempatan dan Indonesia ditahan kerana disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh dan merancang untuk membuat serangan di Malaysia dan Indonesia.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata operasi yang dilancarkan polis Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas berjaya menahan seorang buruh binaan warga Indonesia berusia 23 tahun di ibu negara pada Rabu lepas.

“Suspek merancang untuk melakukan serangan ke atas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Balai Polis Travers di sini bagi merampas senjata api daripada stor senjata api di kedua-dua lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurutnya suspek juga merancang untuk mencuri senjata api di balai polis yang lain dan kem-kem tentera untuk digunakan dalam serangan di negara ini dan Indonesia.

“Suspek juga berbai’ah dengan seorang pemimpin kanan kumpulan pengganas Daesh melalui aplikasi Whatsapp dan cuba merekrut beberapa warga Indonesia bagi menyertai kumpulan pengganas Daesh.

“Bagi membuktikan bahawa kumpulan pengganas Daesh masih aktif di Malaysia, suspek menaikkan dan mengibarkan bendera kumpulan pengganas itu di tapak pembinaan tempat beliau bekerja (di Kuala Lumpur),” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata polis juga berjaya menahan seorang guru sekolah agama swasta berusia 25 tahun menerusi operasi yang dilancarkan di Petaling Jaya, Selangor pada 23 Disember lepas.

Beliau berkata guru berkenaan pernah ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan sebelum dibebaskan pada 9 November 2016.

“Bagaimanapun, beliau kembali aktif dalam kumpulan pengganas Daesh dan merancang untuk melancarkan serangan ke atas pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata suspek itu juga aktif mempromosi ideologi Salafi Jihadi kumpulan pengganas Daesh melalui Facebook miliknya bagi tujuan merekrut anggota baharu selain dikesan mempunyai hubungan dengan beberapa bekas anggota kumpulan pengganas Daesh dan bekas anggota kanan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960.

Katanya kedua-dua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIA -Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747). — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.