PAS Seperti ‘Mat Jenin’ Berangan Nak Kuasai Putrajaya, Kata Mahathir

PUTRAJAYA — Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamed mempersenda hasrat PAS untuk bertanding 130 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan membentuk kerajaan sendiri selepas pilihan raya, sebagai ángan-angan Mat Jenin.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu secara sinis berkata hasrat itu memang ‘hebat’ kerana dalam sejarah PAS, parti itu selalu memerintah negara ini dan telah membentuk kerajaan mereka sendiri.

“Realitinya, PAS kadang-kala hanya menang satu kerusi Persekutuan, tetapi mereka masih ada cita-cita tinggi mahu bertanding lebih 100 kerusi, jadi biarlah mereka bertanding.

“Sebab alasan utama menyertai PRU ini adalah untuk memecahbelahkan undi pembangkang, dan bantu Barisan Nasional (BN) menang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan berkata PAS berhasrat membentuk kerajaan sendiri atau menyertai pembentukan kerajaan baharu selepas pilihan raya umum akan datang.

Ditanya sama ada PAS perlu meninggalkan kerajaan Selangor, beliau berkata: “Memang. PAS perlu keluar.

“Saya tidak nampak mengapa tidak perlu berbuat demikian. Memang ia (PAS) amat selesa di sana (dalam Kerajaan Selangor).”

Pada sidang media itu, Mahathir turut menampilkan manifesto Pakatan Harapan, yang antara lain memperkenalkan had dua penggal bagi jawatan perdana menteri, jika pakatan pembangkang itu berkuasa, dan sebuah jawatankuasa khas Parlimen untuk menyaring calon-calon bagi jawatan lebih tinggi dalam kerajaan. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.