Jangan Heret Istana Dalam Isu Pembekuan Dana, Kata Azmin Kepada PAS

KUALA SELANGOR – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali memberi teguran kepada ADUN PAS untuk tidak mengheret pihak Istana dan Sultan Selangor dalam isu pembekuan peruntukan kawasan kepada wakil rakyat parti itu.

Sebaliknya Azmin menegaskan, sekiranya mana-mana ADUN PAS yang berdepan dengan masalah berkenaan, mereka wajar mengambil pendekatan berbincang dengan pegawai daerah atau berjumpa sendiri dengannya.

Katanya lagi tindakan tersebut bersifat kebudak-budakkan kerana ia boleh diselesaikan secara dalaman.

“Pintu saya sentiasa terbuka, tak payahlah bawa ke Istana. Ni satu tindakan kebudak-budakkan, soal pentadbiran negeri jangan heret Istana untuk menyelesaikannya. Saya bersedia untuk mendengar masalah mana-mana ADUN.

“Bagi saya mana-mana ADUN yang ada masalah tentang peruntukan pembangunan di kawasan masing-masing boleh berbincang dengan pegawai Daerah ataupun berbincang dengan saya sendirilah. Sebab ni soal pentadbiran, tak payahlah jumpa Tuanku,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) hari ini.

Minggu lalu, PAS Selangor tidak menolak kemungkinan akan menghadap Sultan Selangor jika isu pembekuan peruntukan kawasan kepada wakil rakyat parti itu tidak diselesaikan segera.

Pesuruhjayanya Sallehen Mukhyi berkata, pihaknya akan meminta penjelasan Azmin sebelum berbuat demikian.

Isu sekatan peruntukan kepada semua 13 ADUN PAS Selangor dan lima penyelaras DUN oleh kerajaan negeri sudah mula bertebaran hujung tahun lalu.

Menurut Sallehen, beliau diberitahu oleh Bendahari Selangor bahawa segala peruntukan kawasan kepada wakil rakyat PAS negeri dan penyelaras DUN telah disekat, dan adalah dipercayai arahan itu daripada Azmin.

Sementara itu, Azmin menjelaskan masalah ini kemungkinan berpunca daripada kelewatan perbendaharaan negeri yang mengambil sedikit masa dalam menyalurkan dana tersebut kepada pejabat daerah.

“Peruntukan ni diberi secara tahunan, disalurkan pada 1hb Januari kepada setiap ADUN. Namun biasanya pada awal tahun ni mungkin penyaluran daripada perbendaharaan negeri ke pejabat daerah mungkin mengambil sedikit masa.

“Tetapi saya sentiasa memberitahu pelaksanaan tu perlu disegerakan kerana program-program di peringkat daerah tu tak boleh terganggu,” katanya lagi. – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.