Ara Mahu Lari Daripada Balada

KUALA LUMPUR: Selepas dua single berentak balada nyanyiannya, Warkah Untukku dan Bunga, diterima baik oleh peminat, Ara Johari berkira-kira untuk mengetengahkan konsep pop rock pula bagi lagu seterusnya.

Kata penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia 2016 itu, jika boleh, bagi single ketiga, dia ingin lari daripada genre yang meledakkan namanya di persada muzik.

“Justeru, andai berpeluang saya mahu mencuba irama pop rock pula untuk lagu berikutnya. Begitupun, semua itu masih pada peringkat perbincangan. Saat ini, kami masih lagi kencang mempromosikan lagu Bunga,” katanya kepada BH Online.

Warkah Untukku ialah hasil ciptaan Hang Nadim atau Akim Ahmad, manakala Bunga pula dicipta vokalis Akim & The Majistret itu bersama Laq dan Kadok.

Menerusi single pertamanya, Ara, 20, turut layak berentap di pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang akan berlangsung pada 11 Februari depan di Arena Axiata Bukit Jalil.

“Apabila lagu sulung saya diterima baik oleh peminat, jujurnya saya bimbang ketika menghasilkan single kedua. Namun, alhamdulillah, ia juga mendapat maklum balas positif daripada penggemar muzik.

“Selalunya, apabila percubaan pertama meletup, jangkaan peminat untuk produk seterusnya pasti tinggi. Lagu Bunga juga pada awalnya bergerak agak perlahan.

“Cuma selepas beberapa ketika, ia mula menangkap pendengaran orang ramai,” katanya mengenai lagu yang menyaksikan video rasminya sudah ditonton melebihi 5 juta kali di YouTube sejak dimuatnaik, pada awal November lalu.

Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari berkata, dia mahu menjadi penyanyi serba boleh dan tidak hanya selesa dengan sesuatu konsep muzik.

“Saya juga begitu baharu dalam dunia seni. Perjalanan masih jauh di hadapan dan saya sendiri akan meneroka apa juga ruang yang mampu mencabar diri ini.

“Pada masa sama, saya tidak mahu menjadi artis yang naik dengan mendadak, kemudian hilang dalam sekelip mata,” katanya.

Mengenai penyertaan dirinya dalam AJL32, Ara yang julung kali bersaing di pentas berprestij itu mengaku perasaannya bercampur baur antara teruja dan gementar.

“Ketika ini, tinggal 40 peratus lagi baki persiapan hendak dilakukan. Saya memang tidak sabar untuk berkongsi apa yang sudah dirancang dengan peminat. Begitupun, sama-samalah kita tunggu corak persembahan yang akan diketengahkan.

“Pastinya, ada gimik akan ditonjolkan, yang boleh membuatkan persembahan itu diingati bagi tempoh yang lama,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.