Altimet Terpaksa ‘Ponteng’ Pementasan Ola Bola

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, Altimet, terpaksa ‘ponteng’ pementasan teater muzikal Ola Bola bagi memberikan tumpuan kepada pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32.

Katanya, Ola Bola bakal memulakan pementasan di Istana Budaya pada 8 Februari sehingga 11 Mac depan, manakala AJL32 pula dijadualkan pada 11 Februari ini, di Arena Axiata Bukit Jalil.

“Jadi, saya terpaksa ponteng dua hari pementasan teater berkenaan bagi memberikan laluan kepada AJL32. Pada pertandingan kali ini, lagu saya, Amboi, turut bersaing bersama 11 karya lain.

“Saya sudah maklumkan kepada pihak produksi agar diberikan pelepasan pada 10 hingga 11 Februari untuk menjayakan persembahan pada pertandingan itu. Jangan bimbang, mereka mempunyai pelakon pengganti,” katanya kepada BH Online.

Muzikal Ola Bola menjadi percubaan sulung Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 39, di pentas teater.

“Dalam pementasan berkenaan, saya memegang watak Sarjan Ahmad. Watak saya kecil saja, hanya membabitkan dua babak.

“Ketika ini, saya sudah mula nampak gambaran sebenar teater terbabit. Seperti biasa, kami akan terus berlatih dan menggilap lagi mana-mana bahagian yang ada kekurangan.

“Insya-Allah, muzikal Ola Bola akan menjadi pementasan yang mantap. Saya sendiri pasti akan cuba memberikan yang terbaik apabila beraksi nanti,” katanya.

Teater yang diterbitkan oleh produksi Enfiniti milik Puan Sri Tiara Jacquelina itu turut dibintangi oleh Brian Chan sebagai Tauke, Luqman Hafidz (Ali), Abimanyu Masilamani (Muthu), Iedil Putra (Rahman), Kai Chalmers (Eric), Lim Jian Wei (Ah Chai) dan Melissa Ong (Mei Ling).

Ia diangkat daripada filem Ola Bola yang menemui penonton di pawagam pada 2016.-Bhrian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.