PRU14: Tun Mahathir Faktor Kedah Kalah

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sebagai satu faktor yang mampu menggugat peluang Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan Kedah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata penganalisis politik.

 

Dr Ahmad Atory Hussain berkata, penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) oleh Mahathir akan memainkan peranan penting untuk merampas Kedah yang merupakan negeri asal bekas perdana menteri itu.

 

“BN yang sudah hilang sokongan di kawasan penyokong Mahathir, seperti Langkawi dan Kubang Pasu, boleh mengekalkan sokongan orang Melayu dengan bantuan PAS, tetapi kerjasama itu tidak baik untuk parti Islam itu,” katanya

 

PPBM yang diasaskan Mahathir kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah.

 

PAS memutuskan tidak menyertai pakatan itu kerana tidak sebulu dengan DAP dan Amanah.

 

Atory yang mengkaji sejarah kepimpinan Dr Mahathir berkata, BN masih mempunyai peluang 50-50 untuk mengekalkan pemerintahan di Kedah, di mana BN kini menguasai 20 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun usahanya itu lebih mudah jika mendapat kerjasama PAS.

 

PAS mempunyai 8 kerusi, manakala baki 8 lagi kerusi dimiliki PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

 

“Jika PAS kembali kepada Pakatan, BN akan kalah. Jika PAS tidak bantu BN, gabungan itu mungkin hilang banyak kerusi,” katanya sambil menambah ia disebabkan UMNO sudah berpecah dengan ramai ahlinya menyertai PPBM.

 

“Dari segi psikologi, ini sesuatu yang UMNO bimbangkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.