Ingin Terokai Minuman Nabi, Kelab GTR Anjur Kembara Ke Malang

KUALA LUMPUR – Bagi mengembangkan lagi industri ternakan ruminan di negara ini, Kelab Generasi Tranformasi Ruminan Malaysia (GTR) akan menganjurkan kembara di Kota Malang, Indonesia.

 

Menurut Timbalan Pengerusi GTR, Nordin Mat kembara selama 4 hari itu bertujuan membolehkan pengusaha dan penternak lembu tenusu di negara ini untuk menimba ilmu dan kemahiran dalam sektor ternakan.

 

“Kembara kali ini merupakan rentetan dalam beberapa siri jelajah yang telah diadakan sebelum ini dan kota Malang dipilih disebabkan kemajuan sektor ternakan di sini lebih jauh ke hadapan berbanding Malaysia.

 

“Kembara yang kami anjurkan ini bukan trip ‘jalan-jalan cari makan’ tapi bertujuan untuk mengadakan jalinan kerjasama dengan penternak dan penyelidik di sana selain pertemuan dengan pengusaha dan penternak lembu tenusu persendirian yang berjaya di daerah tersebut,” katanya ketika dihubungi SuaraTV sebentar tadi.

 

Nordin yang berpengalaman luas lebih 15 tahun dalam sektor penternakan, mempunyai hubungan baik dengan pelbagai pihak di luar negara termasuk di Australia, Indonesia, Thailand dan Pakistan.

 

Menurutnya lagi, kembara yang diadakan itu juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai produk minuman yang dikenali ‘Kefir yang dikenali sebagai ‘bijian dari Nabi’.

 

“Selain daripada itu, melalui kembara ini kami berhastat untuk belajar kaedah cara pembuatan produk minuman Kefir bagi membolehkan ahli kelab GTR khususnya pengusaha dan penternak ruminan di negara kita menjana pendapatan yang lebih.

 

“(Menurut sejarah) Nabi Muhammad pernah mengajar penduduk di lereng gunung Caucasius mengenai cara untuk membuat kefir dan hasil kajian yang dilakukan membuktikan minuman ini sangat baik untuk sistem penghadaman selain membantu mengurangkan risiko gangguan usus.

 

“Seperti yogurt, kandungan bakteria baik dalam kefir mampu meningkatkan kekebalan tubuh daripada perlbagai serangan bakteria jahat dan saya difahamkan minuman ini sangat popular dan menjadi amalan masyarakat di Israel,” ujarnya lagi.

 

Kefir ialah minuman susu fermentasi yogurt tapi berbentuk lebih cair. Biasanya kefir dibuat daripada susu lembu atau kambing yang melalui proses fermentasi menggunakan beberapa jenis bakteria daripada kelompok Lactobacillus.

 

Nordin turut menjelaskan sehingga kini sambutan yang diterima amat mengalakkan, walaupun penyertaan telah ditutup namun masih ramai dikalangan pengusaha dan penternak yang memohon untuk menyertainya.

 

“Mengikut perancangan awal, penyertaan hanya dibuka kepada 40 orang sahaja namun disebabkan sambutan yang diterima agak luar biasa pihak kelab bersetuju untuk menambah 10 orang peserta lagi.

 

“Selebihnya kami terpaksa meletakkan mereka dalam senarai menunggu,” katanya lagi.

 

GTR sebelum ini aktif menganjurkan pelbagai bengkel dan juga lawatan sambil belajar untuk ahli-ahlinya menimba ilmu baru serta berkongsi pengalaman dan kemahiran dengan penternak-penternak lain bagi memajukan lagi industri yang mereka ceburi.

 

Kelab tersebut didaftar secara rasmi pada Februari 2014, mempunyai keahlian hampir 5,000 orang. Kelab tersebut turut mempunyai tiga cawangan berdaftar di Zon Utara, Selatan dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. GTR turut mempunyai koperasi yang didaftarkan tahun lalu atas nama Koperasi GTR Malaysia Berhad. – SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.