Sedia Kerjasama Untuk Bangunkan Kelantan

SHAH ALAM – Semangat federalisme di Kelantan semakin menebal selepas pasca banjir negeri itu, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdulllah.

 

Beliau berharap semangat itu dikekalkan bagi memastikan pembangunan negeri Kelantan dapat dilakukan dengan lancar.

 

“Jika dahulu orang kata ‘masam-masam manis’, sekarang selepas banjir kesedaran semakin tinggi. Kita harap semangat federalisme boleh ditingkatkan, kerana apa yang penting rakyat perlu diberi keutamaan.

 

“Sebab yang terjejas banjir bukan hanya orang Umno, Pas sahaja yang tidak ada parti juga terkena banjir,” katanya ketika membuka bicara pada siri Wacana Sinar Harian bertajuk Kelantan Pasca Banjir di Auditorium Sultan Muhammad V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf semalam.

 

Katanya, pihaknya amat berbesar hati dengan kerjasama dan bantuan yang diberikan Kerajaan Persekutuan serta agensi kerajaan semasa dan selepas banjir melanda negeri itu.

 

Tegas beliau, pihaknya bersedia untuk jalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu membantu Kelantan.

 

“Saya rakamkan ucapan terima kasih kepada semua terutama kerajaan Persekutuan, agensi-agensi kerajaan,NGO, sukarelawan dan individu yang turun beri sumbangan. Sehingga sumbangan melebihi keperluan.

 

“Yang datang membantu pelbagai latar belakang dan tidak kira agama malah ada datang dari luar negara. Semoga ALLAH SWT beri ganjaran pada semua yang terlibat,” katanya.

 

Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar tidak terus menuding jari terhadap apa yang berlaku kerana sebagai manusia aspek ketentuan ALLAH tidak patut diketepikan walaupun ada ruang untuk membaiki keadaan itu.

 

“Di Kelantan kita tiap-tiap tahun berdepan dengan banjir, sama ada besar atau kecil sahaja. Tetapi yang berlaku baru-baru ini lebih buruk berbanding 2004. Kejadian yang berlaku di luar jangkaan semua pihak.

 

“Contohnya hujan selama empat hari di Gua Musang, tiada amaran dikeluar daripada mana-mana jabatan akan berlaku banjir besar, keadaan itu datang tanpa diduga sehinggakan pusat perpindahan juga ditenggelami air menyebabkan mangsa terpaksa berpindah beberapa kali,” katanya.

 

Ditanya adakah pihak kerajaan negeri masih mahu menafikan yang banjir besar melanda negeri itu berpunca daripada pembalakan haram, beliau berkata, pihaknya bukan mahu menutup kesalahan sendiri tetapi apa yang dinyatakan sebelum ini adalah berdasarkan laporan yang diterima oleh jabatan yang berkaitan.

 

“Ini yang banyak orang sebut (pembalakan haram). Tetapi laporan yang kita ada setakat ini daripada Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Perhutanan menyebut punca utama adalah limpahan air hujan yang banyak.

 

“Hujan selama empat hari berturut-turut di Kelantan sama dengan jumlah limpahan hujan biasa selama 64 hari. Jadi keadaan itu menyebabkan kawasan tersebut tidak dapat menampung. Malah laporan yang kita terima juga limpahan yang banyak itu datang daripada Taman Negara yang mana tiada pokok-pokoknya tidak diusik,” katanya.

 

Bagaimanapun, pihaknya mengambil berat mengenai hal itu dan siasatan berhubung punca kejadian yang berlaku akan dibuat selepas proses bantuan pasca banjir selesai. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.