Salahguna Nama PR1MA Serius

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menyuarakan rasa marah dan bimbang dengan tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan nama perbadanan itu untuk menipu orang ramai membeli rumah di bawah kendaliannya sehingga mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, pihak terbabit menggunakan nama program `Perumahan Mampu Milik 1Malaysia’ bagi mempengaruhi mereka yang amat berkehendakkan rumah yang sedikit sebanyak mencemarkan imej PR1MA.

 

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, PR1MA atau Program Perumahan Rakyat 1Malaysia tidak pernah melantik mana-mana ejen, syarikat atau koperasi untuk menjalankan urusan pembelian rumah di bawah PR1MA.

 

Sebaliknya, kata Abdul Mutalib, pihaknya menjalankan proses cabutan undi secara telus dan terbuka untuk pemohon yang memenuhi syarat kelayakan.

 

“Dalam satu kes, sejumlah lebih RM100,000 dibayar orang awam kepada ‘syarikat tertentu’ yang mempergunakan nama PR1MA sehinggakan kerugian di pihak orang awam mencecah RM6 juta.

 

“Dalam satu kes lain, seramai 137 orang, kesemuanya kaum Cina membayar RM2,000 seorang kepada sebuah syarikat dengan dijanjikan rumah PR1MA di Alam Damai (Bandar Tun Razak-Sungai Besi).

 

“Baru-baru ini juga kami mendapat maklumat ada pihak menawarkan rumah PR1MA di Jalan Jubilee dekat Dewan Bahasa dan Pustaka dalam sebuah surau di Kota Damansara dengan bayaran pendahuluan RM1,888 seorang dan ketika staf kami dikejarkan ke sana, pihak terbabit telah melarikan diri.

 

“PR1MA berharap orang ramai tidak terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab ini, kalau ada apa-apa kemusykilan, mereka boleh menghubungi pihak kami untuk maklumat lanjut di talian 03-74959888 atau melayari laman web kami www.pr1ma.my,” kata beliau dalam sidang akhbar di sini.

 

Menurut Abdul Mutalib pihaknya sedang mengendalikan tujuh projek perumahan di bawah PR1MA tahun ini dengan 14 projek lagi dijangka menyusul.

 

“Sebanyak 105,000 unit rumah PR1MA diluluskan pembinaannya pada Disember 2014. Antaranya termasuklah 11,359 unit rumah sedang dibina dan 65,378 unit rumah lagi yang kini dalam perancangan atau rundingan,” katanya.

 

Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah bagi pemohon program PR1MA dinaikkan tahun ini daripada RM8,000 kepada RM10,000.

 

Kata beliau, di bawah program berkenaan, sebanyak 80,000 unit rumah dengan peruntukan seba­nyak RM1.3 bilion akan dibina, antara lain bagi menangani isu pemilikan rumah dengan harga berpatutan. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.