Rayfal Cemburu, Perkataan ‘Bu’ Buat Fasha Sebak

Petaling Jaya -Pelakon jelita Fasha Sandha, 31, mengungkap kehidupannya kini lengkap dan lebih bermakna dengan kurniaan sepasang cahaya mata serta disamping suami tercinta, Rizal Ashram Ramli (Jejai).

 

Kehadiran Putera Rayfal yang kini berusia setahun lapan bulan dan Puteri Raisya Jemaima, 2 bulan, menjadi penyeri dan menambahkan kebahagaian mereka antara suami isteri.

 

Bagaimanapun, Fasha menyedari Rayfal kelihatan sedikit cemburu sejak kelahiran adiknya. Atas faktor itu, dia kini memberikan perhatian lebih pada anak sulungnya itu dan tidak cukup dengan itu, baru-baru ini Rayfal menyentuh perasaan Fasha apabila dia sudah mula pandai memanggilnya dengan panggilan ‘bu’ merujuk perkataan ibu.

 

“Syukur, hidup saya sekarang semakin lengkap dan bahagia. Cuma, saya perasaan Rayfal macam cemburu sikit dengan adiknya.

 

“Misalnya, jika dia mendengar adiknya menangis, dia akan pergi melihat dan cuba hendak memujuk tetapi kadang-kadang dia memandang seolah mahu korek mata adik dia.

 

“Mungkin dia geram dengan adiknya dan ingatkan anak patung. Namun, saya tidak marah padanya tetapi memberikan perhatian lebih padanya,” katanya kepada Malaysian Digest.

 

Menurutnya, perkataan ‘bu’ yang dilafazkan Rayfal buat pertama kali membuatkan perasaannya sebak.

 

“Ketika itu dia baru bangun tidur dan saya dengar dia memanggil saya. Itu adalah saat paling manis apabila anak boleh memanggil nama ibu,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra HLive! Era Perfect10 di Kuala Lumpur, semalam.

 

Mengenai perkembangan kerjaya seni, bermula Mac ini Fasha akan kembali ke set penggambaran drama terbitan Global Pictures berjudul Tentang Hati 2. Drama yang diadaptasi daripada novel ini turut dibintangi Aaron Aziz dan Anzalna yang akan disiarkan di TV1.

 

Selain itu Fasha sedang menantikan skrip filem terbaru, Anak Mami Nasi Kandar arahan Profesor A Razak Mohaideen.

 

“Walaupun saya akan kembali berlakon tetapi keutamaan saya tetap pada keluarga,” katanya.

 

Dalam pada itu, Fasha juga kini sedang menceburkan diri dalam dunia perniagaan dan akan melancarkan produk jenamanya sendiri dikenali Jemaima.

 

“Saya baru berjinak dalam perniagaan produk terdiri daripada lipstik dan kolagen. Saya akan lancarkan produk saya ini dalam masa terdekat ini selain perusahaan salon saya yang dijalankan sejak tiga tahun lalu kini semakin baik”, katanya. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.