PDRM Mesti Ambil Tindakan Tegas Terhadap Individu Rakam Video Zamani

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Marah, geram, simpati dan kesal. Semua itu diluahkan orang ramai menerusi media sosial dan laman blog berhubung insiden bekas vokalis kumpulan muzik popular era 90-an dipaksa menyanyi dalam tahanan polis baru-baru ini.

 

Mereka membantah perbuatan individu yang merakamkan dan menyebarkan rakaman video pendek insiden yang dianggap memalukan serta menjatuhkan maruah penyanyi berkenaan.

 

‘Ain Jalil’ dalam komennya di laman Facebook ‘Amran Fans’ hari ini berkata, insiden itu boleh menyebabkan orang awam hilang rasa hormat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

“PDRM sepatutnya menjadi tempat orang awam berlindung. Kalau beginilah perilaku polis, macam mana orang awam nak hormat. Tolonglah jaga aib dia. Dia juga manusia, ada hati dan perasaan,” ujarnya.

 

Sementara itu, ‘Ameenur Ashraff’ melalui Twitter miliknya meminta individu yang merakamkan video pendek tersebut bersikap lebih sensitif terhadap perasaan keluarga dan kenalan suspek.

 

“Pernah tak orang yang rakam video vokalis yang menyanyi dalam penjara ini fikir tentang perasaan keluarga dan rakan dia?” katanya.

 

Seorang pengunjung portal hiburan beautifulnara.com yang menggunakan identiti ‘azreen’ turut berkongsi kesedihannya dalam ruangan komen sebuah artikel tentang insiden tersebut.

 

“Sedih tengok video itu… menyanyi dalam keadaan terpaksa dan takut-takut… nak menitik air mata tengok,” jelasnya.

 

Orang ramai turut mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua individu yang terlibat.

 

“Sila ambil tindakan kepada individu-individu yang tiada kerja, makan gaji buta dan buat kerja macam ini!!! Merosakkan nama PDRM sahaja,” kata ‘Jay Boliga’ dalam komen di laman Facebook Kelab Penyokong Polis Diraja Malaysia.

 

Dalam pada itu, ‘Midza Mida’ berpendapat, penyanyi yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah itu tidak sepatutnya menerima layanan buruk di dalam tahanan.

 

“Sebagai anggota polis, sepatutnya tunjukkan perangai yang baik. Dah rakam lepas itu muat naik lagi di Facebook. Sungguh memalukan,” katanya dalam komen di laman Facebook rasmi PDRM. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.