Mangsa Banjir Ditawar Ganti Dokumen Kenderaan Secara Percuma

KEMAMAN 22 Jan. – Mangsa banjir yang berdepan kehilangan atau kemusnahan dokumen berkaitan kenderaan seperti geran, cukai jalan atau lesen memandu kini diberi kemudahan untuk membuat penggantian dokumen itu secara percuma.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, penggantian tersebut boleh di­lakukan di mana-mana kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdekatan.

 

“Bagaimanapun, setiap pemohon disaran supaya membuat laporan polis terlebih dahulu mengenai kehilangan atau kemusnahan dokumen tersebut sebagai bukti sebelum dibenarkan membuat sebarang tuntutan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan bantuan makanan kementeriannya kepada 270 mangsa banjir di Pengkalan Pandan, Chukai dekat sini hari ini.

 

Yang hadir sama, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad dan Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie.

 

Menyentuh mengenai kerosak­an landasan kereta api akibat banjir khususnya di Pantai Timur pula, Ab. Aziz berkata, proses pembaikan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan keuta­ma­an diberikan kepada kawasan yang terjejas teruk akibat bencana itu terutamanya di Kuala Krai dan Manek Urai, Kelantan.

 

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi tujuan membaiki keseluruhan landasan yang rosak ini sehingga keadaan pulih seperti sedia kala.

 

“Justeru, kita akan menyegerakan kerja-kerja baik pulih landasan ini dan menjangka ia dapat dilakukan selewat-lewatnya penghujung bulan ini,” katanya yang memaklumkan tempoh baik pulih tersebut akan memakan masa di antara satu hingga dua bulan.

 

Dalam pada itu, Ismail berkata, hanya stesen penguat kuasa (SPK) JPJ di Laloh, Kuala Krai mengalami sedikit kerosakan akibat banjir manakala pejabat-pejabat JPJ yang lain tidak terkesan akibat bencana tersebut.

 

“Hasil pemeriksaan juga menda­pati, seramai 179 anggota JPJ terlibat dalam bencana itu dengan 30 daripadanya bertugas di Terengga­nu, 36 orang di Pahang manakala selebihnya iaitu seramai 113 orang lagi di Kelantan,” ujar beliau. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.