Kerajaan Kedah Jalinkan Kerjasama Dengan Persatuan Pondok, Elak Pelajar Sertai Militan

Alor Setar – Kerajaan negeri Kedah menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Jemaah Pondok-Pondok Kedah selepas mendapati video bertajuk ‘The Jihadist in Our Family’ (Mujahid dalam Keluarga) boleh mempengaruhi pelajar berkenaan untuk menyertai kumpulan militan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Negeri Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak persatuan pondok bagi mengenal pasti punca sebenar ajaran berkenaan.

 
“Ia bermula selepas ada laporan mengenai sebuah madrasah di Kuala Ketil yang mengajar pelajarnya untuk menyertai pergerakan jihad di Syria.

 

“Saya menyeru pentadbiran sekolah sekolah agama pondok khususnya supaya berhati hati. Jangan menyebarkan ajaran yang berbaur ekstremis kepada anak-anak yang masih kecil kerana kita tahu peperangan yang berlaku di Syria dan Iraq ini adalah peperangan yang seolah olah berbentuk fitnah. Kita tidak tahu siapa yang betul siapa yang salah.

 

“Buat masa sekarang semua pihak perlu bersatu padu untuk memerangi fahaman ekstremisme yang dilihat sudah mula menular dalam sistem pembelajaran,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat di sini.

 

Sebelum ini, akhbar the New York Times menerbitkan video berkenaan yang memaparkan temu bual mereka dengan keluarga Allahyarham Mohd Lotfi Ariffin yang terlibat dengan kumpulan militan IS.

 

Video berdurasi lebih sembilan minit itu menceritakan pengalaman Mohd Lotfi yang dikatakan seorang mujahid dan temu bual dengan seorang saudaranya iaitu tenaga pengajar di Madrasah Nurul Hidayah, Kuala Ketil yang menyarankan agar para pelajar mengambil contoh daripada perjuangan Allahyarham.

 

Dalam pada itu jelas Mohd Rawi, kebanyakan individu yang terlibat dalam aktiviti militan tertarik dengan janji yang ditawarkan terutamanya mengenai penghapusan dosa.

 

“Mereka memikirkan ia jalan mudah ke syurga sekali gus telah menarik minat segelintir pelajar dan masyarakat untuk menyertai aktiviti militan.

 

“Banyak hadis yang diguna pakai bagi memberi kesan yang lebih mendalam untuk menarik minat menyertai aktiviti militan. Jadi saya minta supaya pihak pentadbiran sekolah, pondok dan sekolah rendah rakyat supaya berhati-hati dan tidak menyebarkan ilmu yang tidak benar kepada anak-anak kecil,” katanya.

 

Katanya lagi, semua pentadbiran sekolah pondok dan madrasah juga harus lebih berwaspada dan memastikan fahaman itu tidak tersebar di tempat mereka. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.