‘Flying Kiss’ Dari Paris Hilton Buat Peminat

Kuala Lumpur – Selebriti popular dan kontroversi Hollywood, Paris Hilton selamat menjejakkan kaki buat kali pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 9.15 malam tadi dengan penerbangan Emirates.

 

Sebaik saja keluar dari balai ketibaan VIP, Paris kelihatan tersenyum dan melambaikan tangan malah dia sempat membuat aksi ‘flying kiss’ kepada para peminatnya yang setia menunggu sejak beberapa jam sebelum ketibaannya.

 

Tampil dengan gaya kasual mengenakan pakaian sopan dengan skirt labuh, penampilan diva itu juga dipuji ramai kerana kebiasaannya dia cukup terkenal dengan imej seksi setiap kali muncul di hadapan khalayak.

 

Walaupun hanya sekejap sahaja dapat melihat Paris dari jarak dekat tetapi peminat gembira kerana dia kelihatan ramah dan tidak lekang dari memberi senyum sebelum menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam dan terus meninggalkan perkarangan KLIA.

 

Beberapa jam sebelum berangkat ke Malaysia, Paris sempat memuat naik gambar di laman sosial Instagram miliknya memberitahu dia sudah berada di dalam pesawat menuju ke negara ini.

 

Menerusi Instagramnya, Hilton memberitahu dia terus menuju ke lokasi acara ‘Party of the Century’ untuk sesi sound check.

 

Kunjungan eksklusif bintang sensasi ini adalah sebagai tetamu khas sebuah acara ‘Party of the Century’ yang akan diadakan pada hari ini (23 Januari), sempena perasmian pusat komersial, Empire City di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor.

 

Bertemakan malam penuh Glamour Era 1920-an, kunjungan Paris juga bertujuan meraikan Empayar City sebagai sebuah lokasi hiburan dan gaya hidup yang akan menjadi tumpuan ramai mengikut cita rasa tinggi untuk bersantai dan berhibur.

 

Paris atau nama sebenarnya Paris Whitney Hilton, 33, adalah penyanyi, model dan pelakon yang sebelum ini dikenali menerusi program realiti TV sendiri, The Simple Life.

 

Cucu yang juga pewaris empayar milik keluarga Conrad Hilton (iaitu pengasas Hotel Hilton) pernah popular menerusi single, Star Are Blind dan berlakon dalam filem House of Wax.

 

Tidak lama selepas itu, keterujaan peminat yang berada di KLIA beralih pula kepada kumpulan KPop sensasi, 2AM yang juga baru tiba kira-kira jam 10.45 malam dengan penerbangan Korea Airlines.

 

Kemunculan empat idola ramai ini disambut dengan jeritan peminat yang gembira melihat kelibat Seulong, Changmin, Jo Kwon dan Jinwoon keluar dari balai ketibaan VIP. Walaupun mereka kelihatan keletihan tetapi 2AM tetap memberikan senyuman dan melambaikan tangan kepada peminat.

 

2AM juga diundang sebagai tetamu khas ‘Party of the Century. 2AM sebelum ini sudah beberapa kali berkunjung ke Kuala Lumpur bagi mengadakan konsert juga memenuhi undangan beberapa acara hiburan.

 

Selain Hilton dan 2AM, acara tertutup itu juga bakal dihadiri tetamu kenamaan (VIP) dari seluruh dunia termasuk persembahan istimewa daripada Paris dan 2AM serta beberapa artis antarabangsa lain seperti Taboo (Black Eye Peas), DJ Ken dan pemuzik kelahiran Australia, Mark Vincent. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.