50 Tan Al-Quran Rosak Akibat Banjir

KOTA BHARU – “Al-Quran adalah mukjizat diamanahkan kepada orang Islam untuk dijaga, dibaca dan difahamkan maksud ayatnya, selain perlu dihormati, sebab itulah penting untuk lupuskan al-Quran yang rosak akibat banjir.”

 

Itu peringatan disampaikan pemilik Pusat Pelupusan Ayat Suci Al-Quran, Percetakan Saufi di Cheras, Kuala Lumpur, Rahmat Mahdan ketika menceritakan mengenai 10 tan al-Quran hanyut banjir yang diserahkan Yayasan Warisan Ummah (WUI) untuk  dilupuskan.

 

Menurutnya, pihaknya menjangkakan 300 al-Quran  dihantar dan dilupuskan dari Kelantan termasuk di Kuala Krai iaitu daerah paling kritikal melibatkan lebih 50 tan al-Quran rosak diselaputi  lumpur semasa banjir.

 

“Banjir kali ini benar-benar menguji hati mangsa dan saya percaya masih ramai yang tidak tahu cara melupuskan al-Quran rosak yang ditemui berlumpur tebal ini.

 

“Jika ada al-Quran yang banyak ditemui di kawasan banjir ini, kumpul dan hantar ke masjid berdekatan, yang mana masjid ini akan serah kepada Majlis Agama Islam Kelantan (Maik), kemudian Maik serah kepada kami,” katanya kepada Sinar Harian selepas Program Aktifkan Rumah Ngaji di Pejabat Sinar Harian Kelantan, di sini, semalam.

 

Menceritakan bagaimana proses pelupusan al-Quran dilakukan, Rahmat berkata, ia akan dilakukan secara berperingkat dengan diiktiraf oleh Bahagian Kawalan dan Penerbitan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN).

 

“Selain al-Quran yang rosak akibat banjir, kami juga melupuskan al-Quran yang tersalah cetak dan bahan yang tertera ayat suci al-Quran seperti bingkai al-Quran, papan tanda, plastik, cermin, kaca dan sebarang bentuk tulisan al-Quran.

 

“Jika cuaca baik, mereka akan menyerahkan al-Quran rosak diminta mengeringkannya terlebih dahulu bagi memudahkan kerja pelupusan seterusnya,” katanya.

 

Menurutnya, proses pelupusan ada cara yang sempurna dan ia perlulah mengikut adab bagi menjaga kesucian ayat al-Quran.

 

“Kita letakkan ayat al-Quran dengan sempurna atau beradab. Terlebih dahulu ia perlu dileraikan sehingga ia ‘balik kepada asal’ menjadi sebuah al-Quran seperti sedia kala.

 

“Kemudian, kita akan lupuskan dengan beberapa kaedah termasuk pengasingan, rincih dan dimasukkan ke dalam alat seperti ‘insininator’ atau ketuhar untuk proses pembakaran,” katanya.

 

Sukar menceritakan bagaimana proses pembakaran al-Quran yang mempunyai mukjizat, Rahmat memberitahu semua kerja yang melibatkan al-Quran itu dipermudahkan dengan pertolongan ALLAH SWT.

 

Selepas proses pembakaran tersebut, ia kemudian menjadi abu dan berbentuk tepung, seterusnya diproses dengan air atau dijadikan dalam bentuk kiub dan proses terakhir, dihantar untuk dihanyutkan di laut.

 

“Usah tanya berapa lama tempoh pelupusan ini, namun berdasarkan pengalaman saya sejak 2008, kerja melupuskan al-Quran ini adalah kerja ALLAH SWT, cepat atau lambat semuanya bergantung kepada keadaan dan kehendak-Nya.

 

“Semasa melakukan kerja pelupusan, memang ada ayat tertentu semasa berada dalam peringkat pemprosesan dan kita perlu sentiasa berdoa, minta dipermudahkan,” katanya.

 

Selain itu katanya, KDN bersama mereka semasa kerja pelupusan al-Quran  di laut, pihaknya turut meminta izin Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memudahkan kerja tersebut.

 

Menurutnya, usaha melupuskan al-Quran yang rosak boleh dilakukan bersendirian, namun ia lebih afdal dibuat secara beradab dan pihaknya  tidak galakkan orang ramai lupuskan al-Quran sendirian, sebaliknya disarankan hantar ke masjid berdekatan atau Maik.

 

“Kerja ini sentiasa dipermudahkan, sama seperti modal. Jangan tanya di mana datangnya modal kerana semuanya dipermudahkan dengan pertolongan ALLAH SWT.

 

“Jika ada yang mahu bantu, boleh hulurkan, sekurang-kurangnya kerja yang mudah dipercepatkan lagi urusannya,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.