Tanya Sama Hati Angkat Karya-karya Agung P Ramlee

PEMENTASAN teater Allahyarham Tan Sri P Ramlee bakal menemui peminat dan pencinta hasil karya seniman agung itu  menerusi Projek My P Ramlee iaitu muzikal Tanya Sama Hati, pada 21-23 Februari ini,  jam 8.30 malam di Auditorium DBKL Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Dibintangi Datuk Tamimi Siregar, Shila Mambo, Danish Zakwan, Shahira Amira, Isma AF7, Tan Yoon Lyn, Razib Din dan kumpulan Sayang Dancer serta graduan fakulti teater Aswara, Projek  My P Ramlee merupakan salah satu usaha Fusion Bangsa Play Group dan Triple Eight Production serta Persatuan Alumnai Aswara dalam mengembangkan karya-karya agung Tan Sri P Ramlee.

Usaha ini merupakan salah satu usaha untuk menjadikan karya ini terus diingati serta diguna pakai untuk tujuan pengkajian dan mendidik generasi baru agar mengenali siapa itu P Ramlee dan karya-karyanya.

Menurut Mohd Nurul Hazirin Shamsul Kamar, pementasan ini merupakan salah satu daripada enam perancangan My P Ramlee.

“Dalam perancangan kami sebenarnya ada enam pementasan dan untuk permulaan projek ini kami namakan Tanya Sama Hati. My P Ramlee membawa tema kasih sayang dengan erti kasih sayang sesama manusia, ibu bapa, masyarakat dan nilai-nilai budaya berbilang bangsa yang disatukan.

“Tanya Sama Hati merupakan gabungan istimewa karya-karya Tan Sri P Ramlee yang di ambil dalam beberapa buah filem terutama babak dalam filem yang dipersembahkan di atas pentas.

“Apa yang menariknya, dalam siri pertama ini merupakan hasil kombinasi watak-watak daripada filem yang akan membawa satu kesan kepada penonton dengan mengembalikan aksi tersebut di atas pentas,” katanya.
Penyatuan bangsa

Menurut penulis skrip projek My P Ramlee, Manja Liza Abd Rahman, idea ini timbul apabila dia sering bekerja bersama produksi luar yang menggunakan persembahan broadway.

“Saya menggunakan hasil-hasil karya P Ramlee kerana daripada kecil saya menonton filemnya dan membesar bersama filem-filemnya.

“Timbul satu idea apabila sering bekerja dengan produksi luar yang menghasilkan broadway dan kenapa tidak ada broadway dalam versi Melayu,” katanya.

Selain itu, pementasan ini turut menggabungkan elemen lakonan, tarian dan nyanyian yang disatukan dalam menghasilkan satu kombinasi dengan membawa pendekatan persembahan broadway sebagai inspirasi persembahan.
“Persembahan nyanyian secara live akan memberikan impak kepuasan kepada bakal penonton persembahan ini,” katanya.

Sementara itu, Farah Datuk Seri Sulaiman selaku pengarah tari berkata, teater ini menggabungkan pelbagai bangsa di dalam pementasan serta mewujudkan satu semangat kesatuan serta membuktikan bahawa P Ramlee merupakan satu ikon penyatuan bangsa.

Selain itu penglibatan golongan belia sangat diharapkan mampu untuk menerbitkan rasa kecintaan kepada karya-karya agung Tan Sri P  Ramlee yang tidak ternilai hasilnya dan boleh diguna pakai sepanjang zaman.

“Pementasan ini juga diwujudkan bukan hanya bersifat keuntungan semata-mata tetapi bertujuan untuk mengumpul dana melalui kutipan tiket persembahan dan penajaan akan disalurkan kepada  Persatuan Kebangsaan Autism Malaysia (NASOM),” Katanya.

Tanya Sama Hati mengisahkan sepasang suami isteri yang menerima kehadiran cucu angkat mereka ketika musim cuti persekolahan.

Kisahnya bermula apabila watak atuk Pak Li dan Mak Midah sebagai nenek menceritakan kisah-kisah dalam filem Tan Sri P Ramlee kepada cucu mereka yang hidup dalam keadaan serba moden dan tidak mengenali siapa itu P Ramle serta karya-karyanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.