Keputusan Kes Rasuah 17 Pemain Kuala Lumpur Selasa Ini

Kelana Jaya: Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengumumkan keputusan perbicaraan kes rasuah dan mengatur perlawanan membabitkan 17 pemain Kuala Lumpur musim lalu, Selasa ini.

Pengerusinya, Datuk Taufek Abdul Razak berkata daripada siasatan yang dilakukan sebelum ini dan semalam, pihaknya mempunyai bukti kukuh wujud gejala rasuah dan tidak akan ada individu termasuk bookie yang boleh terlepas.

“Setakat ini, siasatan berjalan lancar. Bukti dah cukup dan bayangan pun sudah ada. Namun, saya tidak boleh cerita sekarang.

“Memang ada kepala. Tidak kira ‘jerung’ (dalang) atau ‘bilis’ (pemain), pada hari yang ditetapkan itu, saya akan dedahkan semuanya,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM semalam.

Tak mengaku salah

Semalam jawatankuasa berkenaan ‘membicarakan’ tiga daripada 10 pemain Kuala Lumpur yang didakwa terbabit rasuah dan mengatur perlawanan pada Liga Perdana musim lalu, iaitu Badrul Hisyam Azmi, Hishamuddin Othman dan Ahmad Dashila Tajudin.
Tujuh lagi pemain akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa itu, esok dan Selasa ini. Mereka ialah Mohamad Ar’Ra’uf Roslee, Muhammad Hanis Mohtar, Muhamad Rafef Raya, Muhammad Syafiq Johari, Mohd Munir Amran, Muhammad Taufiq Mohd Shukor dan Ahmad Jihad Ismail.

“Mereka yang memberi keterangan sudah baca, memahami segala pertuduhan namun tidak mengaku bersalah.Siasatan juga belum siap dan ‘orang luar’ harus faham. Adalah tidak adil jika saya terus membuat keputusan sedangkan masih ada pemain yang belum dibicarakan,” katanya.

Sebelum ini, tujuh pemain skuad ibu kota – S Sivaraj, Amirul Asraf Mohd Noor, Azizon Kadir, Benedict Martin, J Mughilan Kartik, Syazwan Rani serta Azwan Jatin sudah tampil memberi keterangan.

Lima pemain lagi – Fadhullah Yunfisar, Phoo Kai Lun, Khairul Anuar Shafie, Jeremy Danker dan Hafizi Roslee serta tiga pegawai pasukan – Stanislav Lieskovsky (ketua jurulatih), Rosli Omar (penolong pengurus) dan Saari Jani (kitman) digantung seumur hidup dan didenda RM20,000 seorang pada 20 Disember lalu kerana gagal menjawab surat pertuduhan rasuah dan mengatur perlawanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.