1,757 PATI Ditangkap Di Seluruh Negara Dalam 24 Jam

PUTRAJAYA – Dalam tempoh 24 jam, seramai 1,757 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditangkap di seluruh negara dalam Ops 6P Bersepadu yang dilancarkan sejak awal pagi semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Imigresen, Abdul Haidir Mohd. Sukor berkata, dalam operasi bersepadu yang menyasarkan beberapa premis di seluruh negara itu seramai 1,465 PATI lelaki dan 248 PATI perempuan berjaya ditahan.

Beliau berkata, menerusi operasi itu, seramai 6,866 pendatang asing diperiksa di premis seperti rumah kongsi, tapak pembinaan, rumah kediaman, restoran dan lain-lain.

“Kita memeriksa sebanyak 122 premis di seluruh negara dan dalam pemeriksaan itu, seramai 44 PATI kanak-kanak turut ditahan menjadikan jumlah keseluruhan 1,757 PATI.

“Dalam operasi ini, tiga orang majikan turut ditahan iaitu di Negeri Sembilan atas kesalahan menggaji dan melindungi PATI berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan seramai 1,565 PATI ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan lengkap dalam 107 operasi di seluruh negara yang bermula sejak pukul 12 tengah malam semalam sebaik Program Khas Pengurusan PATI (PKPP) berakhir.

Menurut Abdul Haidir, PATI teramai yang ditahan adalah di Kuala Lumpur iaitu 454 orang diikuti Putrajaya (238), Terengganu (145), Kedah (132), Johor (131), Sarawak (123) dan Sabah (109).

Selain itu, katanya, Perak (88), Negeri Sembilan (73), Pulau Pinang (70), Melaka (61), Selangor (40), Pahang (30), Perlis (23), Kelantan (22) dan Labuan (18).

Abdul Haidir berkata, kebanyakan PATI yang ditahan itu dikesan menerusi pemeriksaan yang dijalankan di rumah kongsi dan tapak pembinaan, rumah kediaman serta restoran.

“Mengikut warganegara, PATI dari Indonesia paling ramai ditahan iaitu seramai 739 orang diikuti Bangladesh (275), Myanmar (206), India (135), Kemboja (98), Filipina (92), Nepal (91), Pakistan (73), Vietnam (29), Thailand (4), China (2), Nigeria (1) dan lain-lain warganegara seramai 12 orang.

“Mereka ini ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya menetap tanpa pas atau permit sah, tinggal lebih lama di negara ini, melanggar syarat pas, memiliki dokumen palsu dan lain-lain kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Imigresen, Zahari Abdul Aziz berkata, tiga majikan di tiga kilang turut ditangkap hari ini kerana menggaji dan memberi perlindungan kepada PATI meskipun tidak mempunyai dokumen lengkap.

“Sejak dilancarkan, 33 premis diperiksa membabitkan 790 tangkapan, manakala 343 PATI lagi ditahan di rumah kediaman mereka.

“Kita juga memeriksa enam kilang yang berjaya menahan 111 PATI dan tiga daripada majikan di kilang itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Zahari, kesemua PATI ditempatkan di depot tahanan dan pejabat Imigresen yang mempunyai lokap, selain tiga Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah iaitu di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

Ujarnya, urusan penghantaran pulang kesemua PATI itu dijalankan setiap hari untuk memastikan tidak berlaku kesesakan di semua pusat tahanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.