Tak Timbul Isu Lambat Selesai Masalah Air

SHAH ALAM – Tidak timbul Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali lambat mengambil tindakan untuk meningkatkan kekuatan genset kerana ia adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

 

Jelas Ahli Panel Air Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, peningkatan kekuatan genset tidak berada dalam keperluan mendesak setakat ini.

 

“Tidak timbul kerajaan Selangor lambat ambil tindakan. Loji SSP 1, 2 dan 3, dilengkapi dengan standby genset berkapasiti 5 MW dengan bekalan voltan 3.3kV dan boleh menghasilkan sekitar 60 peratus kapasiti. Dengan itu, semasa kerja penyenggaraan yang wajib dibuat untuk selama 16 jam itu, loji akan mengaktifkan genset. Namun masih wujud ‘kekurangan’ atau ‘shortfall’ sekitar 820 MLD sahaja.

 

“Atas tindakan segera pihak Kerajaan Selangor dan menteri besarnya untuk mengaktifkan fasiliti ‘standby’ tersebut, kemelut atau krisis digembar-gemburkan media penguasa politik telah dapat dielakkan. Maklumat yang bolih dipercayai mengesahkan 90 peratus dari ‘shortfall’ tersebut telah dapat di atasi dan hanya tinggal 10 peratus yang diharapkan dapat dipulih seluruhnya esok hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kerja-kerja penyelenggaraan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) minggu ini menjejaskan loji rawatan air di Hulu Selangor sehingga menyebabkan kebimbangan penduduk masalah tersebut berlarutan sehingga cuti Krismas.

 

Azmin bagaimanapun memberi jaminan kerajaan negeri memastikan gangguan bekalan air diselesaikan segera.

 

Tambahnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sepatutnya membantu menyelesaikan masalah, namun membuat kenyataan mengelirukan hingga menimbulkan kebimbangan pengguna.

 

“Jelasnya ada tidak kena kalau agensi persekutuan ‘mempolitikkan’ isu yang menyinggung kemaslahatan rakyat dan pengguna,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.