Tambak Laut: Nelayan Bidas Kenyataan Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang

PULAU PINANG – Semua 13 daripada 14 Ketua Unit Nelayan di bawah Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan hari ini tampil membidas kenyataan dibuat seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri berhubung sokongan nelayan terhadap projek tambakan laut yang dirancang kerajaan negeri.

 

Menurut ketua-ketua unit nelayan terbabit termasuk Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, kenyataan di buat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim pada Selasa lalu adalah tidak benar dan memesongkan fakta.

 

Tegas mereka, tidak ada nelayan yang waras akan setuju dengan cadangan pembangunan melibatkan tebus guna tanah di kawasan laut seperti yang di jelaskan Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung itu.

 

Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Nazri Ahmad berkata, mengikut memorandum dan maklum balas diterima daripada semua nelayan di negeri ini khususnya di kawasan terlibat adalah menolak projek tebus guba tanah yang cuba dibangunkan dengan kelulusan kerajaan negeri itu.

 

Tegasnya, sebanyak 90 peratus nelayan yang bernaung dibawah persatuan itu menunjukkan sokongan dalam usaha membantah projek berkenaan dan mahu projek itu dibatalkan.

 

“Kami tidak tahu bagaimana Abdul Malik mendapat data dengan menyatakan 80 peratus nelayan bersetuju dengan projek tambak laut ini.

 

“Setakat ini bukan sahaja surat yang dihantar kepada kerajaan negeri untuk mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan tertinggi iaitu Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak dilayan malah persatuan juga tiada pernah dipanggil untuk mengadakan sebarang perbincangan berhubung projek ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Restoran Persatuan Nelayan (Pan Mutiara) di Batu Maung di sini semalam.

 

Selasa lalu dalam sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, Abdul Malik mencetuskan tanda tanya selepas mendakwa kerja-kerja tambak laut di negeri ini diterima baik para nelayan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.