10 Kawasan Di Johor, Di Senarai Hitam Akhbar Singapura

KUALA LUMPUR – Sebuah akhbar Singapura, Shin Min Daily News telah menyenaraikan 10 ‘kawasan hitam’ di Johor Bahru yang perlu diberi perhatian ketika melawat Malaysia.

 

Menurut akhbar itu, orang Singapura diingatkan perlu berwaspada ketika melawat ke tempat tersebut yang merupakan tempat tumpuan rakyat negara jiran itu.

 

Kawasan-kawasan tersebut disenaraikan sebagai ‘kawasan hitam’ selepas berlaku kes jenayah, yang melibatkan orang Singapura menjadi mangsa.

 

Jenayah jalanan lain yang turut dilaporkan termasuk menyeluk saku, samun, curi kereta dan pergaduhan akibat mabuk.

 

Lapornya lagi, destinasi yang disenarai hitam itu, termasuk Terminal Bas Larkin yang merupakan perhentian bas untuk seluruh Malaysia sehingga Hatyai, Thailand. Terminal tersebut dikatakan menjadi tumpuan penyeluk saku.

 

Taman Johor Jaya yang menjadi tumpuan pelancong Singapura turut tersenarai dengan satu kes samun di kawasan lampu isyarat dilaporkan pada 8 Disember.

 

Taman Pelangi pula tersenarai berikutan kes curi kereta yang pernah berlaku pada 2 Disember.

 

Stesen-stesen minyak di sekitar pintu sempadan juga dikatakan selalu menjadi sasaran penjenayah yang menyasarkan orang Singapura.

 

Tempat lain yang tersenarai sebagai ‘kawasan hitam’ termasuk Stulang Laut, Taman Century, Taman Molek, Taman Sri Tebrau dan Taman Sentosa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.