Wanita Vietnam Ditemui Mati Dalam Keadaan Bogel Dalam Bilik Air Hotel

Sentul – Seorang wanita warga Vietnam ditemui mati dalam keadaan bogel dengan tangan dan kakinya diikat menggunakan tuala di dalam bilik air sebuah hotel di Kompleks Pasar Borong, Jalan Ipoh Bandar Utara, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP R Munusamy berkata polis menemui mayat wanita itu kira-kira jam 6.50 petang semalam dalam keadaan meniarap dan terdapat kesan lebam di lehernya akibat dijerut.
Beliau berkata hasil siasatan awal, polis mendapati seorang lelaki mendaftar masuk ke bilik itu pada jam 9.15 malam, dan wanita Vietnam itu ke bilik berkenaan empat jam kemudian.
“Mangsa dipercayai bekerja di sebuah pusat karaoke. Kami tidak menemui sebarang dokumen diri pada mangsa. Polis sedang mengesan lelaki terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.
Munusamy berkata mayat wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.