VIDEO: Cubaan Provokasi Tonto Terhadap Penguatkuasa JPJ

Kuala Lumpur – Pemandu lori yang melakukan pelbagai kesalahan kini semakin terdesak untuk mengelak daripada tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga sanggup mengupah kumpulan samseng bagi menakutkan anggota penguatkuasa.

Walau bagaimanapun, taktik menggunakan kumpulan samseng atau dikenali sebagai tonto itu tidak lagi berkesan apabila JPJ terus komited dan tidak gentar walaupun sering diancam dengan pelbagai ugutan.

Dalam kejadian terbaru, sekumpulan tonto dilihat mengekori kenderaan yang dinaiki anggota penguatkuasa JPJ yang bertindak menahan sebuah ‘lori hantu’ yang disyaki membawa lebih muatan.

Tindakan penguatkuasa yang mengeluarkan notis arahan timbang kepada lori tersebut menimbulkan rasa kurang senang kumpulan tonto tersebut.

Walau bagaimanapun anggota penguatkuasa JPJ langsung tidak gentar dengan ancaman itu telah mengambil tindakan untuk berkonfrontasi secara bersemuka dengan samseng-samseng tersebut.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan selain menggunakan cermin gelap mereka turut mengunakan no plat yang mengelirukan nagi mengelakkan sebarang tindakan diambil.

Malah ada dikalangan mereka yang turut mengunakan pelekat kereta rasmi JPJ bagi mengelaburi mata masyarakat sedangkan mereka sebenarnya melindungi operator lori yang melanggar undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terbaru sekumpulan penguatkuasa yang sedang menjalankan tugas di sekitar kawasan Saujana Putra nyaris maut apabila kenderaan yang mereka naiki dirempuh oleh kumpulan-kumpulan tonto yang memandu dalam keadaan yang merbahaya.

Ketua Operasi JPJ Putrajaya, Muhammad Kifli Mahassan dalam satu kenyataan sebelum ini berkata perkara seperti bukan lagi asing di kalangan penguatkuasa JPJ, kerana selain diancam anak-anak buahnya turut menerima ugutan bunuh.

Menurutnya hasil risikan yang dilakukan sebelum ini tonto tersebut dibayar upah sekitar RM3,000 – 5,000 bagi memastikan laluan yang digunakan lori-lori  ‘hantu’ selamat dari anggota penguatkuasa.

“Mereka menjalankan tugas mereka seawal pukul 6 pagi hingga 12 malam mengikut waktu operasi lori yang dilindungi mereka. Malah, ada yang bertugas 24 jam mengikut jadual operasi lori dan disesuaikan dengan operasi JPJ sendiri.

“Malah majoriti kenderaan mereka turut dilengkapkan dengan peralatan perhubungan (VHF dan telefon bimbit) dan lori-lori pengangkut atau kargo yang dilindungi dipasang dengan alat VHF bagi menerima maklumat daripada tonto,” katanya kepada SuaraTV baru-baru ini.

Malah sekiranya terdapat sebarang halangan, ada dikalangan tonto ini sanggup bertindak nekad dengan melanggar kenderaan penguat kuasa yang menghampiri lori tersebut.

Menurut Kifli lagi tugas utama tonto ialah mengekori ke mana sahaja pasukan penguat kuasa JPJ membuat operasi dan mereka akan menyebarkan maklumat itu kepada semua pemandu lori haram yang sedang beroperasi.

Sebaik sahaja menerima maklumat itu, semua pemandu yang terlibat akan memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan meninggalkan kenderaan dalam keadaan berkunci atau menggunakan laluan alternatif yang tidak diliputi oleh JPJ dan jika perlu memberhentikan terus aktiviti sehingga operasi JPJ tamat.

Selain itu menurutnya, bagi mengelakkan lori-lori yang diberhentikan daripada ditunda ke pejabat JPJ, tonto akan menentukan lori-lori tersebut tidak dapat digerakkan, sama ada dengan membuang angin pada sistem brek, angin tayar atau mengunci enjin secara mekanikal.

Katanya, ada juga pemandu lori yang didapati menguncikan diri dalam kenderaan dan ingkar arahan pegawai JPJ serta enggan bekerjasama untuk membenarkan pemeriksaan atau penguatkuasaan.

Beliau menambah, laporan siasatan itu juga menunjukkan terdapat kira-kira 100 kenderaan yang disyaki digunakan oleh tonto.

Jelasnya, kenderaan-kenderaan itu biasanya adalah pacuan empat roda seperti Isuzu Trooper, Toyota Hilux, 4 WD Toyota, 4 WD Ford, Toyota Prado, Mitsubishi Storm, Ford Ranger dan kereta-kereta lain.

“Walaupun kita telah mengenal pasti pemiliknya tetapi kita tidak dapat mengambil tindakan kerana perbuatan mereka sukar dibuktikan menyebabkan mereka kini semakin agresif.

“Undang-undang yang ada masa ini tidak cukup berkesan untuk menghapuskan tonto dan satu undang-undang yang jelas bagi membanteras kegiatan mereka perlu digubal dan dilaksanakan secepat mungkin,” tegasnya lagi.

Pelbagai pihak sebelum ini menggesa pihak kerajaan agar segera mengkaji pindaan undang-undang bagi membolehkan langkah tegas diambil terhadap kegiatan kumpulan ‘Tonto’ ini di seluruh negara.

Ini kerana pindaan tersebut bertujuan untuk mempertimbangkan peruntukan secara spesifik supaya mana-mana pihak yang dilihat cuba menghalang tugas penguat kuasa boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.