Shahidan Beri Jaminan, Bekalan Banjir Mencukupi

Dungun – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memberi jaminan bekalan makanan untuk negeri-negeri dilanda banjir adalah mencukupi.

Beliau berkata dalam keadaan bencana banjir besar melanda di sesebuah negeri pihaknya akan memastikan bekalan itu akan sampai tidak melebihi tempoh enam jam.

Katanya pihaknya telah menyediakan pelbagai keperluan untuk mangsa banjir dan bekalan itu melebihi dari tempoh yang ditetapkan.

“Berdasarkan pengalaman banjir besar di Kemaman tahun lalu jadi kita telah melakukan persiapan rapi untuk tahun ini baik dari bekalan makanan dan pusat pemindahan.

“Jadi tidak akan timbul masalah terputus bekalan kerana keperluan ini telah diletakkan di pangkalan hadapan yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Balai Besar di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Bukit Besi Roslee Daud dan Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun Datuk Din Adam.

Jelasnya jika laluan utama turut ditenggelami air pihaknya akan menghantar bekalan tersebut menggunakan helikopter.

Katanya beliau berpuas hati dengan pengurusan bencana di daerah Dungun dengan kemudahan logistik dari semua agensi termasuk dari pihak Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Tentera yang membantu melancarkan operasi pemindahan mangsa banjir.

Shahidan berkata pihaknya juga menyambut baik pasukan sukarelawan bagi membantu mangsa bencana ini khususnya ketika banjir surut bagi membantu membersihkan rumah.

Dalam pada itu beliau turut memberikan bantuan khemah pasang siap kepada ibu muda yang terpaksa berpantang di pusat pemindahan itu bagi memastikan bayi berusia dua hari itu serta ibunya berada dalam keadaan selesa. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.