Pemutihan Pengikut IG Timbulkan Kemarahan Pengguna, Jumlah Pengikut Berkurangan

Shah Alam – Proses pemutihan jumlah pengikut di Instagram menjadi topik paling hangat di media sosial minggu lalu.
Jutaan akaun bot dipadam oleh Instagram dan ini menimbulkan kemarahan di kalangan pengguna Instagram yang membeli jumlah pengikut mereka.
Apakah pula kesannya terhadap jumlah pengikut 100 akaun paling popular di media sosial perkongsian gambar ini? Pengguna Zach Alia mengumpulkan data berikut dan jelas sekali akaun Instgram yang mengalami pengurangan paling besar dengan kehilangan 18 juta pengikut. Ini bersamaan dengan  kehilangan 28.4% pengikut.
Pengguna yang mengalami pengurangan paling drastik dari segi peratusan ialah ChiragChirag78 yang kehilangan lebih 3 .6 Juta pengikut bersamaan dengan 99.999%. Akaun ini tidak lagi wujud selepas hanya mempunyai 8 pengikut sahaja selepas itu.
Di kalangan selebriti pula penyanyi Akon mengalami peratusan pengurangan tertinggi ialah sebanyak 59% .
Kim Kardhasian mungkin dibenci oleh mereka yang membenci siri TV realiti beliau tetapi beliau masih ratu Instagram dengan 22,218,039 pengikut.
Beliau masih di atas sungguhpun selepas kehilangan 1.3 Juta pengikut semalaman.
Tindakan Instagram ini sangat dialu-alukan kerana mendedahkan pengguna manakah yang mempunyai pengikut yang dibeli. Kami kini menantikan pihak Twitter untuk melakukan proses pemutihan pengguna palsu yang serupa.
Di Malaysia ramai ahli politik yang bangga dengan jumlah pengikut mereka sungguhpun sejumlah besarnya sudah didedahkan adalah akaun bot yang masih beravatar telur.
Jumlah pengikut “hantu: ini kemudian digunakan sebagai bukti mereka masih berpengaruh dan disayangi oleh orang ramai. Fatamorgana seperti ini digunakan oleh ahli politik dari kedua-dua belah pihak membuatkan saya berfikir.
Jika jumlah pengikut laman sosialpun mereka sudah bijak berbohong, bagaimanakah kita sebagai rakyat hendak percaya kepada janji mereka ketika berkuasa? – AntaraPos

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.