Padah Memancing Musim Tengkujuh : Bot Karam Di Gebeng, Seorang Dikhuatiri Lemas

Kuantan – Seorang pemancing ikan dikhuatiri lemas apabila bot fiber yang dinaikinya bersama seorang lagi rakan karam di Kampung Baru Gebeng, Pahang pada Ahad.
Pasukan Bomba dan Penyelamat  kini sedang meneruskan rondaan di pesisiran pantai bagi mencari mangsa.
Mangsa yang dikenali sebagai Tan Kok Meng, 37 dikhuatiri lemas ketika menaiki bot yang karam di tempat kejadian.
Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Ashrul Riezal Asbar, kejadian itu berlaku kira-kira 100 meter dari persisiran pantai berkenaan.
Antara halangan yang dihadapi pihak bomba adalah ombak tinggi yang menyukarkan mereka mencari mangsa terbabit.
“Kita khuatiri ombak besar, lebih kurang dua ke tiga meter. Ia memang berbahaya untuk menjalankan aktiviti-aktiviti menyelamat. Walau bagaimanapun pihak kami mencuba sebaik mungkin untuk memastikan mangsa ditemui,” kata Ashrul.
Beliau menambah, operasi mencari akan diteruskan dengan teknik lain termasuk pencarian di permukaan laut serta rondaan bot.
Sementara itu, rakan mangsa yang ditemui berasa amat sedih apabila aktiviti memancing mereka bertukar menjadi tragedi buruk.
“Tidak sampai 500 meter, tiba-tiba ombak menjadi besar. Saya tenggelam dan kemudian berenang ke tepi pantai. Saya tidak dengar suara. Saya cuba menyelamatkan diri tetapi saya tidak jumpa dia apabila sampai di tepi pantai,” kata Yong Sang.
Pihak penguatkuasa turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan aktiviti air semasa musim tengkujuh ini. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.