Nikah Warga Indonesia : Dulu Di Buang Keluarga, Kini Ditinggalkan Suami

Ya Allah Ya Tuhanku… saya sedar ujian saya menikahi lelaki Indonesia bukan ujian yang mudah. Tetapi saya percaya setiap yang DIA berikan adalah kerana saya mampu menghadapinya.

Saya berdoa, berdoa dan terus berdoa… memohon DIA memulangkan suami saya yang menghilangkan diri tanpa berita. Air mata tak pernah kering, namun harapan tak pernah padam.

Perkahwinan saya dan Irfan atas dasar suka sama suka. Mustahil Irfan melupakan saya dan anaknya sekelip mata. Saya yakin, mungkin dia dalam kesusahan sehingga tak dapat pulang ke rumah.

Setelah dibuang keluarga selama tiga tahun ini Irfanlah dunia dan keluarga yang saya ada. Walau pun tidak pernah balik ke Padang, Sumatera, tapi hubungan antara saya dan keluarga mentua tetap terjalin menerusi panggilan telefon.

Terbuai dalam tangisan dan doa yang panjang, telefon bimbit saya berdering. Terpapar nama Irfan pada skrin.

Ya ALLAH.. terima kasih Ya ALLAH…

“Abang…” Terpacul ungkapan itu dari bibir saya yang merindu.

“Nor sihat? Abang sekarang di Ipoh. Sudah kerja di kilang di sini.”

“Kenapa tak bincang dengan Nor? Nor risau…”

“Tak apa-apalah. Nor tenang aja. Cukup bulan abang pulang…”

Tinggallah saya di sini bersama Eisya mengharungi susah payah hidup tanpa ketua keluarga. Sampainya hati suami meninggalkan kami. Meski jiwa terasa pedih, saya tetap memaniskan suara dan mengharap Irfan tidak lupa mengirimkan belanja bulanan.

Buatlah apa sahaja yang membahagiakannya asal jangan tinggalkan saya dan Eisya. Saya sudah tiada siapa-siapa. Saya peluk Eisya erat-erat.

Dingin

Saya letak botol susu Eisya atas meja dan terus berjalan ke ruang tamu. Air mata laju menitis tanpa saya hiraukan Eisya yang sedang merengek mahukan susu. Irfan menengking dan sekejap sahaja suara anak berusia dua tahun itu lenyap dari telinga. Eisya lari ke dalam bilik.

Ya ALLAH… kasihan Eisya, tapi saya sedang sakit. Hati saya juga teramat sakit. Jiwa ini apatah lagi.

Bagaimana tidak? Sanggup seorang suami memaksa isterinya menggugurkan kandungan sedangkan anak itu anak kami. Anak yang sah tarafnya. Kenapa hendak digugurkan? Tidak bahagiakah suami mendengarkan perkhabaran ini?

Sebetulnya, pagi-pagi lagi saya bersiap secantik mungkin dengan sarapan tersedia di meja. Saya menunggu Irfan balik dari Ipoh untuk sarapan bersama-sama sebelum menyiapkan air panas agar dia dapat mandi dengan selesa dan berehat.

Saya tahu perjalanannya menaiki bas sejak malam tadi pasti memenatkan dan saya ingin sampaikan khabar gembira ini dengan suasana yang paling tenang dan santai. Saya hamil dua bulan tapi jawapan yang diterima amat menyakitkan!

“Saya mengandung dua bulan…”

“Gugurkan!”

“MasyaALAH…”

“Aku tak mahu anak itu. Kita sudah susah. Kerja kilang buat apa anak ramai-ramai”

Sebagai isteri yang sedia menemani, sayalah menjadi tempat Irfan meluahkan rasa, sesekali menghamburkan kemarahan tanpa sebab. Deminya saya tadah telinga dan rela menjadi bakul sampah kemarahan Irfan. Saya menghalalkan segala cara agar dia lega dan reda.

Tapi kenapa layanan sedingin ini yang Irfan berikan? Saya merajuk bawa diri ke ruang tamu. Harapan saya, Irfan memujuk. Tapi nyatanya saya tersilap. Irfan langsung keluar dari rumah dan tidak balik berbulan-bulan.

Dihalau mentua

Tidak pernah saya membayangkan kehilangan suami ketika saya mengandungkan anaknya. Hari demi hari, kandungan semakin membesar dan saya berduka kerana kehilangannya.

Demi perhatian Irfan, saya telefon dan saya cari dia di tempat kerja. Saya heret beg pakaian dan anak kecil saya. Saya benar-benar hilang arah tuju. Alangkah hancur luluh hati saya saat mengetahui Irfan sudah dua berhenti kerja dan pulang ke Indonesia.

Seorang teman dari Padang menelefon saya memaklumkan Irfan ada di sana dan membawa pulang isteri baru. Padanlah selama ini Irfan bermati-matian tidak mengizinkan saya tinggal di Ipoh bersamanya.

Kenapa Irfan tinggalkan saya dan Eisya? Apa dosa saya? Selama ini kami bahagia, malah pendapatan Irfan di sini serta hasil jimat cermat saya membolehkan dia membeli tanah dan rumah di Indonesia. Saya banyak berkorban dengan Irfan malah rumah yang kami duduki sekarang juga adalah rumah nenek saya.

Saya nekad ke Padang bersama Eisya. Saya menuntut penjelasan. Jam 3 pagi, itulah kali pertama dan terakhir saya bertemu keluarga mentua. Kedatangan saya bukan disambut mesra semesra di dalam telefon tetapi saya dimaki dan dihalau tanpa belas kasihan.

Pada 31.03.1013, suami memberi hadiah paling dahsyat yang tak pernah saya fikirkan. Saya diceraikan dalam keadaan mengandungkan anaknya. Dua minggu saya di sana menumpang rumah rakan macam orang gila. Akhirnya saya akur dengan ketentuanNYA dan kembali ke Malaysia. Kini saya tenang menjalani hidup, mencari kerja dan membesarkan dua anak. Biarlah kenangan antara saya dan Irfan tersimpan kemas dalam lubuk hati. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.