Keadaan Banjir Di Terengganu Semakin Buruk, Siren Berpindah Telah Dikeluarkan

Kuala Lumpur – Banjir di Terengganu kini dilaporkan semakin buruk apabila setakat jam 8 pagi tadi, paras air di kebanyakan sungai utama di negeri itu melepasi paras bahaya.

Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, MKN Terengganu Roslina Ngah ketika dihubungi berkata, amaran siren berpindah di kawasan penempatan penduduk telah pun dikeluar.

Antara sungai utama yang berada di tahap bahaya ialah Sungai Berang di Kampung Menerong, Sungai Dungun di Pasir Raja dan Sungai Kemaman di Air Putih.

“Selain paras air sungai yang meningkat, risiko air pasang juga diramal berlaku sehingga 27 Disember ini,” katanya kepada Astro AWANI.

Tambahnya, mangsa banjir juga bertambah kepada 4597 yang ditempatkan di 43 pusat pemindahan. Ia melibatkan 1202 keluarga. Dungun mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2242 mangsa di 18 pusat pemindahan.

Mengenai bantuan dan logistik pula, Roslina berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah kerana pihak bomba dan Angkatan Tentera Malaysia, ATM telah mendapatkan sumber makanan dari negeri yang tidak mengalami banjir. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.